Cik B menunjukkan kereta Brabus G63 yang baharu dibeli.
Cik B menunjukkan kereta Brabus G63 yang baharu dibeli.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya sudah lama kumpul duit untuk membeli kereta idaman," kata pempengaruh yang juga anak usahawan terkenal Datuk Seri Vida iaitu Cik B, 19, yang membeli kereta idaman Brabus G63 berharga RM1.7 juta.

Cik B atau nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin berkata, kereta mewah itu dianggap paling sesuai dengan karakter dan personaliti dirinya.

"Sebenarnya, sebelum ini saya dan mama (Vida) sudah pergi tengok beberapa kereta lain seperti Audi dan Lamborghini. Malah, ada kereta yang sudah bayar deposit pun. Tetapi saya tukar fikiran sebab tak berkenan.

"Jadi, saya buat pilihan sendiri kereta Brabus ini tanpa pengetahuan mama. Saya beli bulan lalu selepas pulang dari bercuti di Itali. Alhamdulillah, minggu lepas baru keluar dari kedai dan saya dapat kereta ini.

"Bagi saya, kereta ini sangat sesuai dengan saya. Malah, ramai yang cakap ia kena dan sempurna dengan saya. Kalau kereta jenis 'lowerd' ini tak sesuai," katanya kepada Harian Metro.

Cik B yang mengusahakan produk makanan ringan berkata, dia sudah lama mengumpul duit untuk membeli kereta idaman.

Menurutnya, dia juga sudah membawa ibunya menaiki kereta itu dari Kuala Lumpur (KL) ke Ipoh.

"Sejujurnya, saya sudah lama kumpul duit untuk membeli kereta idaman. Tunggu masa sesuai saja untuk beli. Lagi pun setiap kali nak beli saya selalu sibuk, jadi hasrat itu tertangguh.

"Memandangkan saya sudah ada lesen memandu, jadi dapatlah saya pandu sendiri kereta dan bawa mama naik bersama. Setakat ini, paling jauh saya bawa dari KL ke Ipoh," katanya.

Sementara itu, Vida atau Hasmiza Othman berkata, dia menuruti saja kemahuan anaknya untuk memiliki kereta idaman.

"Sebagai mak saya tahu apa kesukaannya. Jadi, apabila dia beli Brabus itu, bagi saya itu pilihan tepat buat dirinya. Malah, kereta itu kena dengan karakter dia. Saya okay saja asal saja dia suka.

"Lagi pula dia beli kereta itu dengan duit poket dan simpanan sendiri. Saya tak ada masalah dengan pilihannya, biarpun sebelum itu kami ada tengok beberapa jenis kereta lain.

"Saya juga tidak ada halangan untuk dia memandu sendiri sebab sudah ada lesen kan. Macam tempoh hari dia pandu sendiri bawa balik ke Ipoh. Cuma, saya ini jenis yang lebih suka dalam kereta yang besar dan luas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 1:48 PM