FERNANDES (kiri) merembat masuk bola untuk membolehkan JDT mendahului 1-0 pada babak pertama perlawanan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
FERNANDES (kiri) merembat masuk bola untuk membolehkan JDT mendahului 1-0 pada babak pertama perlawanan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membuka semula peluang skuad kendalian Esteban Solari untuk menempatkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas juara Liga K1 Korea (Liga K1) yang turut mengumpul mata sama, tetapi berada di tangga kedua kerana kelebihan jaringan.

Misi seterusnya buat JDT lebih mendebarkan apabila berdepan Kawasaki Frontale, 28 November ini di gelanggang lawan sebelum kembali ke Iskandar Puteri untuk berdepan BG Pathum United, 12 Disember nanti.

JDT mula memberi tekanan terhadap benteng pertahanan Ulsan Hyundai sebaik aksi bermula menerusi gerakan Heberty Fernandes dan Oscar Arribas.

Fernando Forestieri sepatutnya membuka tirai jaringan selepas memiliki dua peluang termasuk satu daripadanya ditampan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.

Peluang kedua Forestieri yang melakukan sepakan melencong menyaksikan bola terkena tiang gol.

Skuad bimbingan Hong Myung-bo yang turun tanpa kelibat ayam tambatan, Gustav Ludwigson di posisi serangan ternyata tampak kurang efektif sepanjang 25 minit permainan.

Sepakan lencong Bergson Da Silva pada minit ke-40 sudah memerangkap Hyeon-woo selepas menerima hantaran Fernandes, tetapi bola hanya singgah di palang gol.

Akhirnya seminit sebelum rehat, lebih 20,000 penyokong tuan rumah menyambut jaringan Fernandes yang sempat mendada bola hasil bola umpanan Afiq Fazail sebelum memusingkan badan dan merembat bola leret yang terkena tiang di sebelah kiri dan menewaskan Hyeon-woo untuk meletak JDT mendahului 1-0.

Sebaik babak kedua bermula, Ulsan Hyundai terus menerima tekanan untuk mencari gol penyamaan.

Kesilapan benteng JDT yang membiarkan Ataru Esaka bergerak bebas di dalam kotak penalti membolehkan pemain import dari Jepun itu bangkit menyamakan kedudukan minit ke-68.

Bagaimanapun, pemain gantian, Akhyar Rashid muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan hasil serangan balas dan gandingan mantap bersama Arif Aiman, tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 10:11 PM