PEMAIN Ivory Coast kecewa selepas tewas 0-4 kepada Equatorial Guinea, sekali gus berdepan kemungkinan tersingkir di AFCON di tempat sendiri. FOTO AFP
PEMAIN Ivory Coast kecewa selepas tewas 0-4 kepada Equatorial Guinea, sekali gus berdepan kemungkinan tersingkir di AFCON di tempat sendiri. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Ivory Coast berdepan keaiban tersingkir dari Piala Negara-Negara (AFCON) di tempat sendiri apabila dibelasah 0-4 oleh Equatorial Guinea pada aksi terakhir Kumpulan A, awal pagi tadi.

Emilio Nsue menjaringkan dua gol untuk susulan selepas meledak hatrik ke atas Guinea-Bissau, sekali gus memastikan Equatorial Guinea menduduki tangga teratas kumpulan mengatasi Nigeria kerana perbezaan jaringan.

Nigeria mengalahkan Guinea-Bissau 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan berkenaan.

Ivory Coast hanya sekali gagal melepasi peringkat kumpulan dalam sembilan edisi kejohanan iaitu pada 2017.

Kini, juara dua kali itu terpaksa menanti dengan penuh debaran sama ada mereka mampu mara ke pusingan kalah mati sebagai antara empat pasukan terbaik di tangga ketiga.

Anak buah Jean-Louis Gasset memerlukan beberapa keputusan perlawanan lain memihak kepada mereka bagi mengelak tersingkir, selepas mengalami kekalahan terbesar di tempat sendiri dalam sejarah.

"Saya tidak fikir ia kerana minda, apabila saya melihat pemain menangis di bilik persalinan, ia cukup mengecewakan," kata Gasset.

"Saya fikir kami sudah mencuba dan memberikan segala-galanya. Apabila anda berdepan senario seperti ini dengan hanya mimpi ngeri sebagai sempadan, tiada apa boleh dikatakan atau dibuat lagi."

Penyokong Ivory Coast memenuhi stadium hanya untuk menyaksikan Equatorial Guinea menjaringkan tiga gol dalam tempoh 15 minit, sekali gus mengecewakan mereka.

"Kami menang satu perlawanan peringkat kumpulan, empat pasukan terbaik di tempat ketiga akan layak, jadi kami masih ada harapan," kata Gasset.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 10:16 AM