AKSI perlawanan Forest menentang Brentford. -FOTO AFP
AKSI perlawanan Forest menentang Brentford. -FOTO AFP
Reuters

London: Pemain Nottingham Forest perlu lebih berhati-hati selepas mereka membenarkan penyerang Brentford, Ivan Toney mengalihkan bola ke tempat yang lebih baik ketika mengambil sepakan percuma yang membantu kelab London itu meraih kemenangan 3-2 dalam Liga Perdana, kata pengurus Forest Nuno Espirito Santo awal pagi tadi.

Pengurus dari Portugal itu kecewa dengan gol penyamaan Toney pada minit ke-19 apabila ulang tayangan televisyen menunjukkan penyerang itu mengalihkan bola dari tempat yang ditanda sebelum melencong ke gawang dan menerjah jaring.

Gol oleh pemain berusia 27 tahun itu yang membuat kemunculannya semula berikutan selepas penggantungan lapan bulan kerana kesalahan pertaruhan, mencetuskan kebangkitan Brentford untuk membantu pasukannya menang 3-2 sekali gus kembali ke landasan kemenangan selepas lima kekalahan berturut-turut dalam liga.

Ulang tayang rakaman menunjukkan Toney dua kali menggerakkan bola dari kedudukan asalnya, untuk mencari ruang di belakang benteng pertahanan Forest, tanpa dimaklumkan pengadil.

"Keadaan jelas, terdapat anjakan bola. Saya rasa semua orang melihatnya," kata Santo dalam sidang media selepas perlawanan, mencadangkan bahawa ia sepatutnya diperiksa oleh pengadil.

"Tetapi menjadi tanggungjawab kami untuk menjadi lebih matang, tidak membenarkan sepakan percuma itu dan kemudian membuat benteng dengan betul."

Pengurus Brentford, Thomas Frank berkata, beliau belum melihat ulang tayang gol itu dan tidak jelas baginya sama ada mengalihkan bola daripada tempat asalnya tertakluk dalam peraturan.

"Saya hanya mengambil yang positif... ia berada dalam jaring dan dia melakukannya dengan amat bagus," kata Frank. "Dia seorang pemain yang bijak, apa lagi yang boleh saya katakan."

Gol kemenangan Brentford, yang hadir pada minit ke-68 menerusi Neal Maupay disahkan selepas semakan VAR sekalipun potensi dia terpegang bola.

Santos berkata, beliau yakin ia 'bola tangan' apabila mereka menunjukkan ulang tayang di stadium, tetapi menegaskan ada semakan VAR tidak seperti gol Toney.

Keputusan itu mengecewakan katanya "tetapi kami tetap pulang ke Nottingham dengan penuh bangga."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 9:26 AM