CHENJIE menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi dibatalkan selepas semakan VAR kerana ofsaid. -FOTO AFP
CHENJIE menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi dibatalkan selepas semakan VAR kerana ofsaid. -FOTO AFP
AFP

Doha: Jurulatih China, Aleksandar Jankovic berkata pemainnya berasa "tekanan" selepas mereka membuka kempen Piala Asia dengan keputusan seri 0-0 menentang pasukan yang membuat penampilan sulung di kejohanan itu, Tajikistan awal pagi tadi.

Keputusan seri di Doha lebih memalukan negara yang dikejutkan dengan skandal rasuah bola sepak tetapi mereka sepatutnya meraih kemenangan pada lewat perlawanan.

Finalis pada tahun 2004, China gagal menyaingi pasukan di ranking ke-106 dunia namun berang selepas tandukan lewat perlawanan dari Zhu Chenjie dibatalkan berikutan campur tangan VAR.

Ejekan daripada peminat China kedengaran di penghujung perlawanan.

Jankovic enggan menyalahkan pegawai - "anda tidak boleh menyelesaikan masalah dengan air mata dan tangisan" - tetapi mengakui pemainnya merasai tekanan.

"Menguruskan tekanan di pertandingan besar bukanlah topik baru secara umum," kata pengendali dari Serbia itu.

"Banyak pasukan mempunyai masalah yang sama dan kami banyak bercakap mengenai perkara ini. Namun, kami menghadapi beberapa kesukaran pada separuh masa pertama."

Perlawanan itu berlangsung lima hari selepas bekas jurulatih China, Li Tie tampil di televisyen kebangsaan untuk mengakui beliau membayar rasuah untuk mendapatkan jawatan itu selain terbabit dalam menetapkan keputusan perlawanan.

Skuad China di Qatar dipaksa menonton program televisyen itu, menurut media negara China.

Jankovic berkata beliau akan "membuat beberapa perubahan" sebelum pasukannya menentang Lubnan pada perlawanan kedua.

"Kami akan menghidupkan semula enjin pagi esok," katanya.

"Tiada pasukan yang tersingkir dan tiada pasukan yang layak selepas satu perlawanan."

China, yang menghuni ranking ke-79 dunia, berasakan mereka mampu meraih kemenangan apabila Zhu melonjak tinggi untuk menanduk masuk melepasi jangkauan penjaga gol Rustam Yatimov susulan tendangan sudut dengan permainan berbaki kurang 10 minit.

Namun gol itu dibatalkan VAR kerana ofsaid ketika bekas pertahanan remaja England, Tyias Browning yang kini mewakili China, berada di atas garisan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 9:50 AM