FAISAL meraikan kejayaan meledak gol pertama negara dalam aksi perlawanan persahabatan menentang China. FOTO FAM
FAISAL meraikan kejayaan meledak gol pertama negara dalam aksi perlawanan persahabatan menentang China. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya membuktikan mereka setanding pasukan di ranking 80 dunia apabila mengikat China 1-1 pada perlawanan persahabatan Stadium Phoenix Hill, Chengdu, China, sebentar tadi.

Jelas sekali skuad bimbingan Kim Pan Gon hampir merobohkan 'tembok besar' China menerusi aksi luar biasa sebaik babak pertama bermula.

Malah, Malaysia sepatutnya mendahului seawal minit kedua namun jaringan penyerang negara Darren Lok hasil daripada hantaran Faisal Halim dibatalkan kerana ofsaid.

Kekecewaan itu segera ditebus apabila Faisal atau dikenali 'Mat Siu' menggegarkan gawang lawan menerusi jaringan pertama pada minit ke-11 untuk kedudukan 1-0.

Gol terbabit jelas sekali meniup semangat barisan Harimau Malaya apabila sering melakukan gerakan berbahaya untuk mencari gol tambahan bagi menjarakkan lagi kedudukan.

Kapten pasukan Malaysia Dion Cools hampir menambah jaringan pada minit ke 19 namun tandukannya sedikit tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada kem China.

Malaysia yang cukup kental di bahagian pertahanan dalam tempoh 30 minit akhirnya dibolosi pada minit 36 apabila kesilapan pertahanan yang lambat menutup ruang memberi peluang kepada Lin Liangming melepaskan rembatan sekali gus menewaskan Syihan Hazmi Mohamed.

Memasuki babak kedua, Malaysia melakukan sekurang-kurangnya empat tukaran pemain bagi memberi 'nafas baharu' kepada jentera serangan.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke 60 menerusi gerakan Faisal, Arif Aiman dan Darren namun penyudah yang lemah sekali gus gagal mencipta sebarang jaringan.

Pasukan bimbingan Aleksandar Jankovic yang melihat Malaysia lebih menguasai bahagian tengah mengubah taktikal dengan melakukan serangan menerusi sayap kiri dan kanan.

Taktikal berkenaan dilihat memberi sedikit masalah kepada pertahanan negara apabila beberapa percubaan tuan rumah hampir menghasilkan gol.

Walaupun, kedua-dua pasukan sering melancarkan serangan ke kubu lawan namun keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan terbabit menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian pada 14 tahun lalu apabila berjaya mengikat China 0-0 pada perlawanan persahabatan 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 9:42 PM