PEMAIN Tajikistan memeluk Segrt sehingga cermin matanya hampir terjatuh ketika meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023. FOTO REUTERS
PEMAIN Tajikistan memeluk Segrt sehingga cermin matanya hampir terjatuh ketika meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023. FOTO REUTERS
AFP

Doha: Pasukan yang membuat penampilan sulung, Tajikistan menjaringkan dua gol pada hujung perlawanan untuk menang 2-1 ke atas Lubnan, sekali gus melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati Piala Asia.

Ia adalah malam penuh drama pada aksi Kumpulan A apabila China bergantung nasib kepada pasukan lain selepas tewas 0-1 di tangan Qatar dan menduduki tangga ketiga kumpulan.

Sebelum perlawanan, Qatar selaku tuan rumah dan juara bertahan sudah layak ke pusingan berikutnya sebagai juara kumpulan, sekali gus menyaksikan China, Lubnan dan Tajikistan berebut tempat.

Dua pasukan teratas daripada enam kumpulan layak automatik ke pusingan berikutnya dan mereka akan diiringi empat pasukan terbaik di tangga ketiga.

Tajikistan adalah antara inspirasi baharu dalam kejohanan di bawah kendalian jurulatih Croatia, Petar Segrt.

"Setiap hari berada di sini, kami semakin menakjubkan. Kami sudah capai impian pertama iaitu layak ke pusingan akhir ini.

"Kami ada mimpi kedua, mara ke pusingan kedua. Kini, kami ada mimpi lagi," katanya.

"Ini adalah bola sepak. Setiap orang daripada kami ada mimpi dan impian."

Qatar menamatkan aksi kumpulan dengan sembilan mata, Tajikistan meraih empat mata, China dengan dua mata manakala Lubnan yang meraih satu mata sudah tersingkir.

Tajikistan ketinggalan pada awal babak kedua apabila Bassel Jradi meledak gol dari luar kotak penalti yang meletakkan Lubnan di depan.

Tetapi, Lubnan terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati kekasaran dilakukan Kassem El Zein sepatutnya dilayangkan kad merah, bukannya kad kuning.

Walaupun berkelebihan seorang pemain, gol Tajikistan sekali lagi dibatalkan oleh VAR.

Akhirnya, Parvizdzhon Umarbaev menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-80 sebelum Nuriddin Khamrokulov menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 9:04 AM