MBAPPE masih menjadi watak penting buat PSG - FOTO AFP
MBAPPE masih menjadi watak penting buat PSG - FOTO AFP
Agensi

Paris: Kylian Mbappe masih mengunci mulut berhubung mengenai isu perpindahannya dari Paris Saint-Germain tahun ini.

Pemain berusia 25 tahun itu kini boleh memulakan rundingan dengan kelab di seluruh Eropah untuk perjanjian pra-kontrak menjelang perpindahan musim panas selepas dia memasuki enam bulan terakhir perjanjiannya.

Memandangkan situasi Mbappe yang sudah sampai ke peringkat ini, ia akan menjadi salah satu perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak moden tanpa sebarang bayaran.

Keadaan ini tidak mengejutkan dengan beberapa kelab terkemuka England sudah pun dikaitkan dengan perpindahan untuk pemain itu.

Arsenal dan Chelsea adalah antara pasukan yang mencari penyerang baharu tahun ini selepas masalah menjaringkan gol menghalang mereka daripada mencapai potensi penuh pada separuh pertama musim 2023/24.

Kedua-dua pihak banyak dikaitkan dengan perpindahan untuk Ivan Toney dan Victor Osimhen bulan ini, tetapi tawaran pertengahan musim untuk kedua-duanya kelihatan semakin sukar.

Mbappe sendiri tidak akan berpindah sehingga musim panas namun dia bebas meninggalkan PSG pada akhir perjanjiannya, tetapi apa yang perlu dilakukan sekarang adalah persetujuan pra-kontrak. Bagaimanapun, pemenang kasut emas Piala Dunia dua kali itu belum membuat sebarang kenyataan rasmi.

"Saya masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan saya. Saya masih belum membuat pilihan," katanya ketika ditanya mengenai masa depannya.

"Tiada siapa yang bercakap tentang situasi saya di dalam kelab, ia bukan topik."

Laporan media pada September mengatakan Mbappe bersedia melepaskan bonus kesetiaan mencecah €100 juta euro (RM508.41 juta) jika dia meninggalkan PSG secara percuma.

Pada tahun 2022, Mbappe menunggu sehingga Mei untuk mengumumkan lanjutan kontrak di PSG, hanya beberapa minggu sebelum jendela perpindahan dibuka. Kali ini pemain 25 tahun itu berkata dia tidak akan menunggu lama untuk membuat keputusan.

"Saya rasa ia adalah penghujung Mei 2022 kerana saya tidak tahu sehingga Mei. Jika saya tahu apa yang saya mahu lakukan, mengapa perlu mengambil masa. Ia tidak masuk akal," katanya.

Kata-kata itu turut menguatkan apa yang dikatakan oleh ketua jurulatih Luis Enrique awal minggu ini.

Bekas pengendali Sepanyol itu berkata: "Saya akan terus melakukan apa yang saya lakukan sehingga hari ini dengan Kylian."

Enrique pada mulanya mengetepikan Mbappe daripada skuadnya untuk jelajah pra-musim Jepun berikutan beberapa isu.

Mbappe kemudiannya memaklumkan PSG bahawa dia tidak akan meneruskan lanjutan satu tahun dalam perjanjiannya yang akan mengikatnya sehingga 2025 dan kelab itu kemudiannya berusaha untuk menjualnya pada musim panas untuk mengelak potensi kehilangannya secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 8:45 AM