MBAPPE (kiri) dikaitkan dengan perpindahan ke Real. FOTO AFP
MBAPPE (kiri) dikaitkan dengan perpindahan ke Real. FOTO AFP
Agensi

Paris: Paris Saint Germain (PSG) dilaporkan percaya bahawa Kylian Mbappe sudah mencapai persetujuan untuk menyertai Real Madrid secara percuma pada musim depan.

Gergasi Perancis itu sebelum ini memberi amaran kepada Mbappe bahawa dia mempunyai dua minggu untuk menentukan masa depannya.

Mbappe sudah memberitahu PSG menerusi sepucuk surat bahawa dia tidak akan melanjutkan kontrak semasanya dan dengan berbaki setahun lagi kontraknya, PSG perlu menjualnya pada musim panas ini untuk mengelak daripada melepaskannya secara percuma.

Bukan satu rahsia lagi bahawa skuad bimbingan Carlo Ancelotti mendahului perlumbaan untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu.

Demi kepentingan kewangan Real, keputusan Mbappe menyertai kelab itu secara percuma pastinya sesuatu yang dialu-alukan oleh Real namun ia juga akan menambah masalah untuk PSG.

Daripada perspektif PSG, jika mereka tidak dapat memujuk kapten kelab itu untuk sekurang-kurangnya bersetuju dengan klausa lanjutan kontrak sehingga 2025, mereka akan cuba mendapatkan bidaan tertinggi pada musim panas ini dan berharap untuk memperoleh sekitar £150 juta (RM899.4 juta) daripada penjualannya.

Pengerusi PSG, Nasser Al-Khelaifa berkata adalah mustahil untuk Mbappe meninggalkan kelab itu secara percuma ketika memperkenalkan pengurus baharu, Luis Enrique.

"Kami mahu dia kekal tetapi dia tidak boleh meninggalkan kelab ini secara percuma. Terdapat perjanjian lisan dan dia sudah membincangkannya dalam satu perjumpaan. Saya sangat terkejut apabila mengetahui bahawa dia memutuskan untuk berhijrah secara percuma.

"Ia sangat mengecewakan kerana Mbappe adalah seorang pemain yang hebat dan meninggalkan kelab ini secara percuma akan melemahkan kelab terbesar di Perancis, bukan dirinya. Apabila saya mendengar berita itu, saya terkejut dan kecewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 8:11 AM