MASA depan Pochettino cetus tanda tanya. FOTO AFP
MASA depan Pochettino cetus tanda tanya. FOTO AFP
Reuters

Paris: Pengurus Paris St Germain (PSG), Mauricio Pochettino 100 peratus yakin akan kekal bersama kelab itu musim depan dan berasakan penyerang, Kylian Mbappe juga akan kekal bersama juara Ligue 1 itu.

Kedudukan Pochettino mendapat perhatian selepas PSG tersingkir pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara manakala Mbappe dikaitkan perpindahan ke Real Madrid ketika kontraknya akan tamat pada musim panas ini.

Mbappe menjadi sasaran kemarahan penyokong apabila mahu meninggalkan kelab itu sebelum kontraknya tamat tetapi prestasi penyerang itu dilihat berjaya memenangi kembali hati peminat.

Mbappe mengatasi Neymar dan Lionel Messi dalam membawa PSG menjulang kejuaraan.

"100 peratus dalam kedua-dua isu," kata Pochettino ketika ditanya adakah beliau dan Mbappe akan kekal bersama PSG pada musim depan.

"Inilah yang saya boleh katakan setakat ini. Saya tidak memperkatakan lebih daripada itu," katanya.

PSG melakar memenangi Ligue 1 buat kali ke-10 tetapi kegagalan mereka pada kempen Liga Juara-Juara membuatkan penyokong kecewa.

Kontrak Pochettino akan tamat pada Jun 2023 tetapi masih belum ada perbincangan rasmi dengan kelab berkenaan berhubung masa depannya.

"Kami perlu terus bekerja keras dan bukan hanya fikirkan mengenai isu semasa. Ada tanggungjawab yang perlu digalas lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 5:54 PM