LEE Tuck tiada dalam perancangan TFC musim ini. FOTO GHAZALI KORI
LEE Tuck tiada dalam perancangan TFC musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) tidak ada perancangan untuk mengikat bekas tonggak importnya, Lee Tuck dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain naturalisasi kebangsaan itu tiada dalam radar pasukan setakat ini biarpun 'arkitek' itu berminat untuk kembali ke bumi Terengganu.

Jelasnya, ketika ini posisi tengah pasukan sudah lengkap sepenuhnya termasuk dengan kehadiran seorang lagi bintang import dari Croatia yang bakal tiba nanti.

"Setakat ini pemain itu (Tuck) tidak ada dalam perancangan pasukan termasuk ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam mengharungi saingan Liga M musim 2024/2025.

"Lagipun jentera tengah pasukan yang terdiri daripada pemain tempatan dan import sudah lengkap sepenuhnya, pada masa sama TFC juga fokus kepada pemain muda tempatan untuk memberikan minit permainan yang lebih kepada mereka bagi memastikan lebih berdaya saing.

"Satu lagi memandangkan kewangan pasukan tidak begitu besar, kita terpaksa berbelanja secara lebih berhemah termasuk mengurangkan jumlah pemain import biarpun boleh didaftarkan seramai sembilan pemain.

"Jadi kami memohon maaf kepada Tuck kerana tidak dapat merealisasikan impiannya biarpun mengetahui pemain itu begitu berminat untuk kembali berkhidmat bersama pasukan TFC musim ini," katanya ketika ditemui.

Terdahulu Tuck yang kini bergelar seorang usahawan hartanah di England meluahkan keinginan untuk kembali menyarung jersi skuad Penyu pada musim ini selepas hampir dua tahun meninggalkan pasukan itu.

Jelas pemain berusia 36 tahun itu, banyak kenangan indah ketika bersama TFC bermula 2018 selain dua anaknya iaitu Ruby Sofia dan Sienna Mae lahir di Kuala Terengganu membuatkan dia rindu untuk kembali ke bumi Terengganu.

Selain TFC, pemain yang dipanggil 'Rooney Ganu' itu pernah menyarung jersi Negeri Sembilan, Sri Pahang FC dan terakhir Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum membuat keputusan mengejut berhijrah ke United Kingdom musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 1:07 PM