BARISAN pemain Chelsea meraikan kejayaan menewaskan Newcastle. FOTO REUTERS
BARISAN pemain Chelsea meraikan kejayaan menewaskan Newcastle. FOTO REUTERS
AFP

London: Chelsea mara ke separuh akhir Piala Liga apabila melakar kemenangan menerusi penentuan penalti yang dramatik ketika menentang Newcastle selepas Mykhailo Mudryk menjaringkan gol penyamaan di masa kecederaan.

Mengikuti jejak langkah skuad kendalian Mauricio Pochettino adalah Fulham yang menewaskan Everton menerusi penentuan penalti serta pasukan divisyen dua, Middlesbrough pula melakar kemenangan 3-0 menentang Port Vale.

Tewas tiga kali daripada lima perlawanan terakhir mereka, Chelsea menunjukkan semangat juang yang amat diperlukan untuk memenangi aksi suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas seri 1-1 di Stamford Bridge.

Menduduki tempat ke-10 di Liga Perdana, Chelsea hanya berbaki dua minit sebelum tersingkir tetapi pemain sayap Ukraine, Mudryk muncul penyelamat apabila menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Satu-satunya trofi dimenangi Pochettino sebagai pengurus ialah kejuaraan liga Perancis dan piala domestik bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Kemaraan Chelsea memberi peluang kepada pengendali dari Argentina itu untuk meraih trofi pertamanya di England selepas beliau kempunan membantu Tottenham yang tewas pada final Piala Liga 2015.

"Kami sangat gembira. Peminat dan kelab berhak merasai perasaan ini. Ia memberi motivasi yang besar.

"Barisan pemain kami masih muda. Kami membentuk hubungan yang baik sesama sendiri. Keputusan seperti ini akan membantu kami," kata Pochettino.

Kekalahan itu adalah tamparan hebat buat Newcastle, yang gagal dalam percubaan mereka untuk membalas dendam kekalahan pada aksi final Piala Liga musim lalu di tangan Manchester United dekat Wembley.

Selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, penyingkiran Newcastle di Piala Liga adalah satu lagi kekecewaan dialami kelab yang disokong jutawan Arab Saudi itu dalam usaha mereka untuk merangkul trofi pertama sejak 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 8:05 AM