KLOPP dan Ten Hag singsing lengan malam Ahad ini.
KLOPP dan Ten Hag singsing lengan malam Ahad ini.
AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester United bertekad menyekat impian Liverpool yang mahu menjulang empat trofi dan menyelamatkan musim sukar Erik ten Hag pada perlawanan suku akhir Piala FA Ahad ini.

Newcastle pula perlu mencipta kejutan sensasi dalam usaha mereka menamatkan kemarau gelaran utama dalam tempoh 55 tahun apabila berkunjung ke Manchester City.

Keputusan undian menentang kelab Liga Kejuaraan Coventry di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin Wolves yang kini cuba mengintai tiket ke saingan Eropah musim depan menerusi saingan liga dan kejohanan piala.

Anak buah Gary O'Neil kini menduduki tangga kesembilan dalam carta Liga Perdana Inggeris, di depan Newcastle dan Chelsea.

Namun harapan mereka untuk menjulang trofi Piala FA pertama dalam tempoh 64 tahun mungkin terjejas susulan kecederaan dialami beberapa tonggak.

Kesemua tiga pemain utama di barisan depan - Matheus Nunes, Hwang Hee-chan dan Pedro Neto tidak dapat beraksi malam esok.

Coventry berada di tangga kelapan dan mereka mengimpikan aksi di Wembley sekali lagi selepas terlepas tiket Liga Perdana pada final playof musim lalu.

Pengurus Magpies Eddie Howe mengakui dia hampir menyerah kalah selepas menerima berita skuadnya terpaksa berkunjung ke Eithad.

Newcastle menewaskan City di St James' Park dalam aksi Piala Liga awal musim ini tetapi anak buah Pep Guardiola terlalu kebal di tempat sendiri.

City tidak tewas 38 perlawanan di Etihad sejak Disember 2022 dan mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan pasukan pada pertengahan minggu ini.

Kevin De Bruyne dijangka tersisih akibat masalah kecederaan pangkal paha manakala penjaga gol Ederson diketepikan susulan masalah betis.

Namun juara Inggeris itu kekal pilihan utama untuk memburu tiga gelaran buat kali kedua berturut-turut - Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Kekalahan Chelsea di tangan Liverpool pada final Piala Liga menambahkan tekanan ke atas Mauricio Pochettino.

Pengendali dari Argentina itu berdepan musim pertamanya yang sukar tetapi selepas bermula perlahan di Stamford Bridge, Chelsea hanya tewas sekali dalam 13 perlawanan terakhir di tempat sendiri.

Leicester pula diambang melayakkan diri ke Liga Perdana selepas mereka menduduki tangga teratas Liga Kejuaraan tetapi berdepan kemerosotan prestasi sejak kebelakangan ini selepas hanya menang dua daripada enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Ten Hag turut terdesak perlukan trofi bagi mengelakkan dia tersingkir pada penghujung musim di Old Trafford

United kini berada di tangga keenam, 17 mata di belakang lawan mereka yang akan ditentang hujung minggu ini. Liverpool berdepan saingan sengit tiga penjuru dalam perebutan kejuaraan liga selain mara ke suku akhir Liga Europa dan menjulang Piala Liga bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 10:35 PM