PENGURUS Chelsea, Mauricio Pochettino. FOTO AFP
PENGURUS Chelsea, Mauricio Pochettino. FOTO AFP
AFP

London: Mauricio Pochettino memberi amaran kepada pemain Chelsea bahawa bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) 'bukan badan kebajikan' dan mereka tidak boleh mengharapkan untuk kembali terus ke dalam pasukan selepas pulih daripada kecederaan.

Kelab London itu terjejas teruk akibat kecederaan musim ini dan merosot di tempat ke-10 EPL menjelang perlawanan di Wolves, esok.

Pemain antarabangsa Belgium, Romeo Lavia, yang menyertai mereka dari Southampton pada Ogos lalu dengan harga £58 juta (RM343 juta), masih belum melakukan penampilan sulung bersama kelab itu manakala penyerang Perancis, Christopher Nkunku tampil sebagai pemain gantian ketika menang aksi Piala Liga ke atas Newcastle Selasa lalu susulan pembedahan lutut.

Pengurus Chelsea, Pochettino mengesahkan Lavia, 19, mungkin disenaraikan dalam skuad di Molineux tetapi menegaskan Nkunku, 26, yang menjaringkan gol ketika penentuan penalti berdepan skuad kendalian Eddie How, masih tidak cergas sepenuhnya.

"Semua pemain selepas satu tempoh berehat yang lama, mereka terdesak untuk beraksi," kata Pochettino awal pagi tadi.

"Mereka boleh terbabit, tetapi di tahap mana? Mudah untuk berkata 'saya mahu bermain' tetapi kami bertanding dan ia serius, pertandingan.

"Selepas enam bulan, seperti Nkunku dan Lavia, mereka perlu faham untuk terbabit mereka perlu berlatih benar-benar gigih setiap hari. Mereka perlu membuat impak setiap kali masuk ke padang. Ia bukannya kami bermain aksi pramusim.

"Pemain perlu faham ia bukannya perkara kebajikan, kami bermain bukan untuk suka-suka. Kami perlu menang. Kadang-kadang agak sukar buat orang memahami keadaan pemain," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 5:50 PM