PSG menentang Dortmund yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. -FOTO Reuters
PSG menentang Dortmund yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. -FOTO Reuters
Reuters

Dortmund, Jerman: Paris St Germain (PSG) melakarkan keputusan seri 1-1 dengan juara Kumpulan F, Borussia Dortmund awal pagi tadi bagi menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua seterusnya mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Kedua-dua pasukan mensia-siakan banyak peluang keemasan pada separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan sebelum Karim Adeyemi memecah kebuntuan buat tuan rumah yang sudah layak pada minit ke-51 selepas PSG kehilangan penguasaan bola di luar kotak penalti.

Pasukan pelawat bertindak balas lima minit kemudian, menyamakan kedudukan menerusi pemain remaja Warren Zaire-Emery hasil usaha keras Kylian Mbappe yang turut melakukan percubaan namun dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-76.

Zaire-Emery menjadi penjaring gol termuda Perancis dalam Liga Juara-Juara pada usia 17 tahun dan 280 hari.

Dortmund mendahului kumpulan dengan 11 mata manakala PSG di tempat kedua meraih lapan mata jumlah yang sama diraih AC Milan di tangga ketiga.

Milan akan meneruskan saingan Liga Europa selepas kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United yang mengutip lima mata.

"Objektif utama adalah untuk mengejar tempat pertama dalam kumpulan tetapi kami perlu kekal realistik," kata pertahanan PSG, Marquinhos.

"Apa yang penting adalah layak tidak kira apa pun. Mulai sekarang hingga pusingan seterusnya, kami perlu membuat persiapan yang baik dan membuat persiapan yang lebih baik kerana lawan besar akan menghampiri.

"Penting bagi kami untuk meningkatkan prestasi di tempat lawan," katanya selepas pasukannya tewas dalam dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini dalam aksi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 7:17 AM