GATTI meraikan jaringan yang membolehkan Juve mencatat kemenangan 1-0 ke atas Napoli. FOTO Reuters
GATTI meraikan jaringan yang membolehkan Juve mencatat kemenangan 1-0 ke atas Napoli. FOTO Reuters
AFP

Turin: Pemain pertahanan, Federico Gatti menjaringkan gol keduanya ketika membantu Juventus mencatat kemenangan 1-0 di tempat sendiri menentang penyandang juara, Napoli sekali gus membantu Juve menduduki tangga teratas Serie A.

Pertahanan tengah itu melompat tinggi untuk menanduk masuk gol selepas rehat yang menyaksikan ia adalah jaringan tunggal bagi aksi sengit antara dua gergasi bola sepak Itali.

Kemenangan di Turin meletakkan Juventus di tempat teratas dalam carta liga.

"Kemenangan malam ini sangat penting, kerana kami meletakkan Napoli pada kedudukan kurang 12 mata dan itu adalah keputusan yang hebat," kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri kepada DAZN.

"Bagi menggapai impian dan Scudetto, kami perlu terus meningkatkan langkah demi langkah, terutamanya apabila kami melakukan terlalu banyak kesilapan," tambahnya.

Napoli yang berada di tangga kelima mempunyai peluang yang lebih baik dalam menghasilkan gol pembukaan dan kelihatan mempunyai banyak peluang memecahkan kebuntuan pada separuh masa pertama.

Walaupun Napoli terus menekan sehingga hujung perlawanan, Old Lady berjaya menyerap tekanan dengan selesa untuk mencatat kemenangan.

Jurulatih Napoli, Walter Mazzarri bagaimanapun melihat perkara positif dalam kekalahan itu.

"Anak buah saya bermain dengan baik, saya rasa mereka menguasai perlawanan, memaksa Juventus bertahan di kawasan sendiri hampir sepanjang separuh masa kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 8:16 AM