OSIMHEN meledak gol kedua buat Napoli. -FOTO AFP
OSIMHEN meledak gol kedua buat Napoli. -FOTO AFP
AFP

Naples, Itali: Napoli mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Braga 2-0 dan menamatkan kekecewaan di tempat sendiri selepas lebih dua bulan.

Juara Itali itu layak selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam Kumpulan C di belakang Real Madrid hasil jaringan sendiri Serder Saatci dan gol pertama Victor Osimhen sejak awal Oktober yang mana kedua-duanya dihasilkan pada separuh masa pertama.

Skuad kendalian Walter Mazzarri akan tetap mara biarpun jika tewas dengan satu gol tetapi namun akhirnya layak ke pusingan seterusnya dengan bergaya, seterusnya menamatkan enam perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan di Stadio Diego Armando Maradona.

Kemenangan pertama di Naples sejak menewaskan Udinese pada akhir September lalu memastikan Napoli menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan 10 mata, enam mata di depan Braga yang tercicir ke Liga Europa.

"Matlamat utama kami untuk mara ke pusingan seterusnya dan itu tidak mudah. Saya fikir kami boleh mengatakan bahawa kami layak ke peringkat seterusnya," kata kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo.

"Banyak kerja yang kami perlu dilakukan, tetapi kami bermain dengan baik. Memang mudah untuk melihat keputusan ini tetapi pemain berada di sana untuk membuktikannya,"

Selepas tiga kekalahan daripada empat perlawanan pertamanya sejak kembali menggantikan Rudi Garcia yang dipecat, Mazzarri meminta Napoli lebih mantap.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan cara pasukannya menangani pasukan Braga yang tidak tewas dalam lima perlawanan menjelang perlawanan itu dan berada dua mata di belakang pendahulu liga, Sporting Lisbon di Portugal.

"Kami tidak sempurna tetapi jika dibandingkan dengan keadaan, saya cukup berpuas hati," kata Mazzarri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 8:23 AM