AKSI Luqman ketika bermain paintball.
AKSI Luqman ketika bermain paintball.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Mungkin sudah rimas dengan penampilan berambut panjang, kini penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin memilih gaya botak untuk tampil lebih kemas.

Menerusi gambar dimuat naik penyerang kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK) itu, Luqman kelihatan seperti seorang rekrut tentera selepas membotakkan kepalanya.

Malah, dalam gambar sama, pemain berusia 19 tahun itu sedang bermain paintball bersama rakan sepasukan di mana liga di Eropah berehat seketika bagi memberi laluan kepada jendela aksi antarabangsa ketika ini.

Gaya Luqman menembak yang seolah-olah seperti anggota Paskal, ditambah dengan gaya botaknya, membuatkan peminat bola sepak tempatan meninggalkan pelbagai komen diruangan Instagram miliknya.

Begitupun, Luqman tampak 'sporting' apabila membalas komen-komen dengan jawapan yang melucukan.

LUQMAN bersama rakan sepasukan ketika bermain paintball.
LUQMAN bersama rakan sepasukan ketika bermain paintball.

"Nok jadi sniper ko", tulis seorang peminat. Dan Luqman membalas, "hahahahaa tukar plok ter".Selain itu, "Gano botok dah tu", kata musli_tiq sebelum dibalas, "comel sikit", kata pemain skuad Harimau Malaya itu.

Untuk rekod, KVK ketika ini menduduki tangga kelima Liga Belgium dengan 10 mata daripada enam aksi liga dan aksi berikutnya menentang Leuven FC pada Isnin ini di Stadium King Power Den Dreef.

Bagaimanapun, Luqman masih belum meraih sebarang penampilan bersama skuad utama musim ini sebaliknya dia lebih banyak beraksi dengan skuad B-21 tahun KVK.

Musim lalu, dia berjaya raih penampilan pertama dalam skuad senior apabila diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang RSC Anderlecht yang berkesudahan KVK tewas 1-3.

Kejayaan bermain meletakkan Luqman mencatat sejarah selaku pemain pertama dari Malaysia yang meraih penampilan di liga utama Eropah, di mana bintang negara sebelum ini sekadar beraksi di liga bawahan di Perancis, Jerman mahupun Portugal sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 4:21 PM