PENYERANG Sabah FC, Jafri Firdaus Chew (kiri) bertembung dengan penjaga gol Kelantan FC, Irfan Haiqal pada perlawanan Liga Super malam tadi. FOTO FB MFL
PENYERANG Sabah FC, Jafri Firdaus Chew (kiri) bertembung dengan penjaga gol Kelantan FC, Irfan Haiqal pada perlawanan Liga Super malam tadi. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Di atas padang pemain lawan nyata menjadi musuh, namun di luar padang, ia berbeza buat pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang mengakui simpati dengan pasukan Kelantan FC.

Jauh di sudut hatinya, Kim Swee mengakui cukup bimbang dengan potensi pemain muda skuad The Red Warriors (TRW) dan khuatir kelompok 'ubi muda' pasukan itu hilang dari kancah saingan Liga Malaysia selepas ini.

Katanya, rekod kekalahan besar secara berturut-turut dialami Kelantan FC dibimbangi boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan pemain muda terbabit.

Lantas, bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu berharap perkara itu dapat diatasi segera demi kebaikan pemain dan pasukan itu.

"Dalam bola sepak tiada istilah simpati di dalam padang, tetapi di luar padang, ya.

"Saya percaya itu satu perkara (kekalahan menerusi jaringan besar) yang menyedihkan, itu tak harus berlaku dalam bola sepak terutama dengan pemain muda.

"Jadi saya berharap kita dapatkan satu formula terbaik untuk memastikan mereka mempunyai minat selepas ini.

"Ini kerana jika kita selalu tewas dengan jumlah besar, minat atau kita akan berasa kecewa dan seterusnya akan menceburi bidang lain," katanya pada sidang media selepas aksi Liga Super membabitkan Kelantan dan Sabah FC, malam tadi.

Dalam aksi tertunda di Stadium Mini UiTM Shah Alam itu, Kelantan FC dibelasah 0-7 oleh Sabah FC, sekali gus menyaksikan pasukan itu dibolosi 102 dalam 23 aksi Liga Super musim ini dan masih berbaki tiga perlawanan liga.

"Jika kita lihat pasukan Kelantan, mereka adalah pemain muda dan apabila tewas setiap kali dengan jumlah begitu besar, saya rasa itu perkara cukup negatif.

"Di mana profesionalisme yang mereka harungi dalam situasi seperti ini mungkin akan menjadi fobia untuk mereka.

"Saya faham dengan keadaan pasukan Kelantan, saya harap mereka akan dapat kekal berjuang hingga penghujung musim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 5:42 PM