HANNAH beramah mesra bersama peserta kejohanan bola sepak junior antarabangsa Royal Selangor Club-Datuk Chu Ah Nge kali ke-17, pagi tadi. FOTO BERNAMA
HANNAH beramah mesra bersama peserta kejohanan bola sepak junior antarabangsa Royal Selangor Club-Datuk Chu Ah Nge kali ke-17, pagi tadi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui pencapaian Harimau Malaya yang mendaki tujuh anak tangga untuk berada di kedudukan ke-130 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) membuktikan segala perancangan dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencetuskan impak positif.

Beliau berkata, ia termasuk keputusan FAM melantik Kim Pan-gon bagi mengemudi skuad kebangsaan.

"Saya lihat dalam tempoh setahun (sejak dilantik Menteri Belia dan Sukan) ini penglibatan Pan-gon telah menunjukkan hasilnya," katanya selepas melancarkan kejohanan bola sepak junior antarabangsa Royal Selangor Club-Datuk Chu Ah Nge kali ke-17, pagi tadi.

Menurut laman sesawang www.fifa.com, pasukan negara mengumpul keseluruhan 1,122.87 mata untuk meningkat daripada kedudukan ke-137 dunia yang dihuni sejak 26 Oktober lepas.

Perkembangan positif itu dicapai susulan kejayaan Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada 16 November dan Taiwan 1-0 pada 21 November.

FAM dalam misi memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 120 terbaik menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 6:39 PM