GAYA Saddil dan Darren meraikan jaringan ketika menentang PSM Makassar. FOTO AFC Cup
GAYA Saddil dan Darren meraikan jaringan ketika menentang PSM Makassar. FOTO AFC Cup
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sabah FC meneruskan rekod cemerlang dalam saingan Piala AFC apabila membelasah PSM Makassar 5-0 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, di Bali, Indonesia sebentar tadi.

Ia kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan H selepas menundukkan kelab Singapura, Hougang United 3-1 di Kota Kinabalu sebelum ini.

Malah, kejayaan mengutip tiga mata penuh itu meletakkan skuad Sang Badak memimpin kumpulan dengan enam mata.

Dalam aksi itu, anak didik Datuk Ong Kim Swee tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit keenam menerusi tandukan Darren Lok yang menyambut baik hantaran Saddil Ramdani.

Pelawat terus menghukum kelonggaran benteng tuan rumah apabila Gabriel Peres mudah menanduk gol kedua Sabah di minit 36 untuk melebarkan kelebihan sebelum menuju ke bilik persalinan.

Belum sempat PSM Makassar menenangkan diri di permulaan babak kedua, Saddil sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila gerakan solonya sebaik wisel ditiupkan membolehkan Lok meledak gol ketiga di minit 46.

Tindakan penjaga gol, Reza Arya Pratama menghalang larian Saddil di minit 57 akhirnya mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah sekali gus tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Pelawat mengambil kesempatan dengan baik dan berjaya menambah gol keempat melalui sepakan percuma Stuart Wilkin di minit 73.

Tuan rumah yang muncul juara Liga 1 Indonesia pada musim lalu itu cuba memberi saingan namun Sabah menambah derita lawan apabila pemain gantian, Farhan Roslan tenang menyumbat gol pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 10:07 PM