ARIF  (kanan) tekad rebut kesebelasan utama skuad kebangsaan. FOTO TFC
ARIF (kanan) tekad rebut kesebelasan utama skuad kebangsaan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan kiri Terengganu FC (TFC), Arif Fadzilah Abu Bakar akui teruja selain tidak menyangka terpilih menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang bakal menentang Jordan esok dan Uzbekistan, Sabtu ini di Amman, Jordan.

Pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang itu berkata, ketiadaan pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Corbin Ong yang tidak disenaraikan bakal membuka peluang buat dirinya untuk merebut posisi kegemarannya itu.

Namun pemain yang mula menyinar ketika mewakili kelab T-Team sebelum ini enggan terlalu selesa walaupun tanpa tonggak Harimau Selatan itu.

Sebaliknya pemain berusia 25 tahun itu tekad mahu bekerja lebih keras lagi bagi memastikan tidak kempunan untuk membarisi skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu terutama pada saingan Piala AFF 2020 hujung tahun ini dan kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.

"Pertama saya bersyukur kerana terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan walaupun dalam sesi pemilihan, ini adalah rezeki saya.

"Kepercayaan yang diberikan jurulatih kebangsaan, Cheng Hoe akan digunakan sebaik mungkin pada aksi persahabatan di Amman walaupun sedar tugas berat untuk menyekat rangkaian penyerang skuad Jordan dan Uzbekistan yang bersaiz besar dan tinggi.

"Ketiadaan pertahanan JDT, Corbin Ong bakal memberi peluang kepada saya untuk mengisi posisi berkenaan, namun persaingan pasti sengit untuk berada di posisi pertahanan kiri itu.

"Jika diturunkan bertemu Jordan esok, saya tekad untuk merantai penyerang lawan, namun perlu kerjasama daripada rakan sepasukan bagi memastikan pasukan negara dapat menyaingi lawan," katanya.

Pada aksi Liga Super, anak bongsu daripada 10 adik-beradik itu adalah tonggak utama skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain, malah aksi cemerlangnya bersama skuad itu memastikan TFC berjaya menamatkan liga di tempat keempat.

"Terima kasih juga buat barisan kejurulatihan TFC yang banyak memberi peluang kepada saya membarisi skuad sekali gus menambah lagi minit permainan untuk menjadi pemain yang lebih baik," kata pemain yang juga pernah menyarung jersi skuad Felda United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:28 PM