SELANGOR FC.
SELANGOR FC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Selangor FC boleh dikatakan 'berubah wajah' pada musim ini apabila enam tonggak utama mengumumkan meninggalkan skuad Gergasi Merah bagi saingan 2024/2025.

Antara nama besar yang meninggalkan pasukan terbabit adalah penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ayron Del Valle dan kapten, Brendan Gan.

Selain itu turut tiada dalam senarai skuad Gergasi Merah kelak adalah Yazan Al-Arab, Boakye-Yiadom, Rauf Salifu dan Zahril Zabri.

Pengumuman itu boleh dikatakan mengejutkan dengan Ayron yang meledak 25 gol dalam 33 perlawanan menjadi mesin gol Gergasi Merah dan antara penyumbang terbesar buat skuad itu dalam meraih gelaran naib juara Liga Super musim lalu.

Meskipun bergelut pada awal penampilannya, Ayron bagaimanapun membuktikan keupayaan sebenar apabila muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan mengumpul 23 gol, mengatasi penjaring terbanyak musim 2022 Bergson Da Silva dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Brendan pula membuat 80 penampilan sepanjang empat musim bersama Selangor sejak musim 2020.

Pemain tengah kebangsaan berusia 36 tahun itu menyumbang 14 jaringan serta 12 bantuan gol buat Selangor dengan dia terkenal sebagai pemain yang berkaliber serta mempunyai sifat kepimpinan tinggi dalam pasukan.

Sementara itu, Boakye yang berasal dari Ghana menyertai Selangor pada pertengahan musim lalu dan membuat 15 penampilan dalam kancah bola sepak Malaysia dengan dia meledak enam jaringan serta membuat tiga bantuan gol.

"Selangor FC ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pemain yang menabur bakti sepanjang bersama pasukan Merah Kuning. Jasamu sentiasa kami kenang dan semoga berjaya bersama pasukan baharu masing-masing," kata kelab itu.

Pengumuman terbabit jelas sekali menunjukkan Selangor FC akan tampil dengan beberapa muka baru yang akan memperkuatkan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2.

Terdahulu, juara Piala Malaysia 33 kali itu sebelum ini mengumumkan penyerang kebangsaan, Faisal Halim dan beberapa pemain lain termasuk Safuwan Baharudin, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Harith Haiqal kekal bersama Gergasi Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 1:09 PM