Malik Muhamad


KETUA pasukan Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengingatkan rakan sepasukannya tidak mengambil mudah tentangan yang bakal disajikan pasukan Sabah apabila kedua-dua pasukan Liga Super itu bakal membuat perhitungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Sabtu ini.

Pemain berdarah campuran Malaysia-England itu berkata, semua pasukan yang berada dalam divisyen satu adalah sama kuat dan handal selain mampu melakukan kejutan biarpun beraksi di laman lawan sebagaimana TFC berjaya menundukkan Petaling Jaya (PJ City) 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun yang sudah empat musim beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menjelaskan dia dan rakan sepasukannya kini mempunyai tonik terbaik sesudah merakam kemenangan menundukkan skuad The Phoenix itu selepas lebih lima bulan tidak beraksi dalam perlawanan sebenar.

"Kami berjaya membina keyakinan daripada kemenangan tempoh hari, saya begitu gembira, ia begitu berharga kerana perlawanan pertama selepas berehat panjang, tapi kami tidak boleh begitu selesa bertemu Sabah Sabtu ini.

"Sebaliknya kami perlu belajar lagi untuk memperbaiki mutu permainan selepas menentang PJ City dan perlu terus fokus serta bermotivasi tinggi untuk merakam kemenangan ketiga musim ini bagi mengintai kedudukan lebih baik dalam carta liga yang hanya berlangsung pusingan pertama sahaja," katanya.

TFC menjalani sesi latihan di Padang Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak menjelang perlawanan Liga Super bertemu Sabah Sabtu ini. FOTO GHAZALI KORI
TFC menjalani sesi latihan di Padang Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak menjelang perlawanan Liga Super bertemu Sabah Sabtu ini. FOTO GHAZALI KORI

Pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2017 sebelum berhijrah ke Terengganu setahun kemudian berkata, pasukan Sabah juga liat untuk ditewaskan.

"Mana-mana pasukan boleh melakukan kejutan jika kita tidak berwaspada apatah lagi kita beraksi tanpa penyokong bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19, oleh itu kerja keras daripada semua pemain dituntut bagi memastikan tiga mata mampu dicapai di laman sendiri.

"Saya juga harapkan kami mampu memperagakan aksi lebih pantas bermula pada awal permainan tidak seperti ketika menentang PJ City tempoh hari yang agak perlahan pada 20 minit pertama," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, skuad bimbingan Nafuzi Zain kini menghuni di tangga ketiga liga dengan mengutip tujuh mata hasil empat perlawanan termasuk menundukkan PJ City 2-0, Kedah 4-3, seri 3-3 dengan Selangor dan tewas 1-3 kepada Perak manakala Sabah menghuni di tangga kelima dengan mengutip lima mata juga selepas empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 8:14 PM