COOLS (tiga dari kanan) menjalani latihan bersama pemain skuad Harimau Malaya di Padang Bolasepak Yingfeng sebaik tiba di Taiwan, malam tadi. FOTO FB FAM
COOLS (tiga dari kanan) menjalani latihan bersama pemain skuad Harimau Malaya di Padang Bolasepak Yingfeng sebaik tiba di Taiwan, malam tadi. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad Harimau Malaya sudah pastinya tiada belas ihsan dan akan menggempur kubu Taiwan pada pertemuan di Stadium Perbandaran Taipei, malam esok.

Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools berkata, mereka bersedia untuk membawa pulang tiga mata penting, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Katanya, walaupun Taiwan ketika ini berada di ranking ke-152 dunia, itu bukanlah alasan untuk barisan pemain beraksi sambil lewa, sekali gus mampu menjerat pasukan kelak.

"Kami sentiasa menghormati lawan, namun tidak kira mereka berada di ranking 100 terbaik dunia atau sebaliknya, barisan pemain tetap berjuang habis-habisan.

"Skuad Harimau Malaya mahukan tiga mata kerana ia penting untuk pastikan peluang kita lebih cerah untuk ke pusingan seterusnya.

"Semua pemain ketika ini berada dalam keadaan gembira dan tidak sabar mahu beraksi pada perlawanan malam esok," katanya pada sidang media praperlawanan Taiwan bertemu Malaysia.

Selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 Khamis lalu, skuad Harimau Malaya memburu tiga mata apabila bertemu Taiwan, malam esok bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 5:39 PM