REAKSI Pan-gon pada perlawanan Kumpulan D bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
REAKSI Pan-gon pada perlawanan Kumpulan D bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kim Pan-gon akui beliau menegur pemainnya di bilik persalinan ketika waktu rehat yang disifatkannya terlalu yakin dan tidak menghormati pihak lawan.

Katanya, kebangkitan luar biasa diperagakan anak didiknya selepas ketinggalan sebelum bangkit untuk menumbangkan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Jelasnya, pemainnya beraksi lebih baik selepas ditegur olehnya agar menghormati lawan dan tidak terlalu yakin.

"Kita bermula baik dan saya sangat gembira di mana kita kuasai permainan dan bermain baik.

"Tapi selepas itu kita hilang arah dan saya bercakap kepada pemain pada waktu rehat tentang siapa diri mereka.

"Keyakinan itu penting namun kita perlu menghormati pihak lawan. Mereka di ranking 97 manakala kita pula 137. Saya suka keyakinan pemain tetapi jangan terlalu yakin.

"Bagi saya ia pengajaran berguna buat kita. Walaupun ia perlawanan yang sukar dan saya tidak gemar cara kita bermain tapi saya lega apabila pemain mula sedar dan bermain lebih baik di babak kedua," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Empat gol skuad negara diraih menerusi dua gol tandukan Dion Cools masing-maisng di minit ketujuh dan 77 sebelum dua lagi hasil jaringan sendiri Khristiin Brauzman (m-71) dan Faisal Halim (m-93).

Manakala tiga gol Kyrgyzstan menerusi Zhyrgalbek Kairat (m-41), Batyrkanov Erniest (m-44) dan Merk Kai (m-57).

"Saya berterima kasih kepada penyokong. Mereka datang beri sokongan, semua pemain beraksi dengan baik. Tahniah kepada penyokong dan pemain. Saya amat berbangga dengan pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 12:09 AM