FANDI lega kehadiran semula empat pemain utama. FOTO Sri Pahang FC
FANDI lega kehadiran semula empat pemain utama. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang

Kuantan: Kehadiran semula empat pemain utama Sri Pahang FC diyakini membantu skuad itu untuk beraksi lebih padu pada aksi Liga Super apabila berdepan PDRM FC di Stadium Darul Makmur, 8 November ini.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, mereka adalah Kpah Sherman, Nor Azam Azih, Stefano Brundo dan Baqiuddin Shamsudin yang sebelum ini dibelenggu pengantungan dan kecederaan.

"Pada perlawanan berdepan Terengganu FC (TFC), Sherman tidak beraksi kerana mengutip tiga kad kuning manakala Azam, Brundo dan Baqiuddin pula mengalami kecederaan.

"Oleh itu, saya harap mereka akan kembali memperkuatkan pasukan apabila berdepan PDRM selepas akur hanya mengutip satu mata berdepan Terengganu pada 29 Oktober lalu.

"Kita perlu menang ke atas PDRM untuk berada sama ada di kedudukan ketiga, keempat atau kelima dalam saingan liga musim ini," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Ketika berdepan TFC, ketiadaan empat pemain utama berkenaan jelas memberi kesan mendalam kepada Sri Pahang apabila ketinggalan 2-0 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada 12 minit terakhir perlawanan.

Dengan saingan musim berbaki empat perlawanan, Sri Pahang yang sudah bermain 22 perlawanan berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengutip 44 mata.

Berdasarkan jadual perlawanan, skuad kendalian Fandi itu akan berdepan PDRM pada 8 November ini, diikuti Penang FC (26 November), Johor Darul Ta'zim (3 Disember) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (17 Disember).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 9:12 PM