TEN Hag kecewa melihat anak  buahnya tumpas 3-4 di tangan FC Copenhagen, awal pagi tadi. FOTO AFP
TEN Hag kecewa melihat anak buahnya tumpas 3-4 di tangan FC Copenhagen, awal pagi tadi. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Erik ten Hag mungkin dipecat pada hari sama Jose Mourinho ditamatkan kontrak oleh Manchester United, lima tahun lalu.

United tewas buat kali ketiga dalam empat aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kali ini 3-4 di tangan FC Copenhagen, awal pagi tadi.

Kekalahan itu meletakkan mereka di tangga tercorot kumpulan dan bakal tersingkir sebelum peringkat kalah mati.

Skuad kendalian Ten Hag turut malang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas lima daripada 11 perlawanan awal.

United ini menghuni tangga kelapan liga, enam mata di belakang kelompok empat teratas dan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Perlawanan terakhir mereka sebelum rehat aksi antarabangsa ialah bertemu Luton di Old Trafford pada Sabtu ini.

Selepas rehat dua minggu, United akan kembali beraksi dengan tiga perlawanan di tempat lawan - menentang Everton, Galatasaray dan Newcastle.

Ia disusuli dengan tiga perlawanan bertemu Chelsea, Bournemouth dan Bayern Munich - aksi yang akan menjadi penentu nasib United di pentas Eropah musim ini.

Liverpool menanti United pada 17 Disember - pertembungan terakhir yang sama seperti Mourinho pada 2018 sebelum dipecat.

Pada perlawanan itu, Mourinho menyaksikan United kendaliannya tewas 1-3 di Anfield pada 16 Disember dan dia dipecat, dua hari kemudian.

Sekiranya Liverpool menewaskan anak buah Ten Hag pada Ahad, 17 Disember, pengendali dari Belanda itu mungkin akan disingkirkan pada pagi Isnin - tarikh sama seperti Mourinho.

Ten Hag adalah pengendali tetap kelima Man United sejak Alex Ferguson meninggalkan kelab itu, 10 tahun lalu.

David Moyes, Louis van Gaal, Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer gagal meraih gelaran EPL pertama sejak 2013.

Van Gaal memenangi Piala FA, manakala Mourinho merangkul Piala Liga dan Liga Europa.

Musim lalu, Ten Hag menamatkan kemarau lima tahun trofi dengan memenangi Piala Liga pada Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 9:46 PM