PEMAIN Manchester United kelihatan kecewa selepas tewas 0-3 di tangan Newcastle United - pada aksi pusingan keempat Piala Liga Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
PEMAIN Manchester United kelihatan kecewa selepas tewas 0-3 di tangan Newcastle United - pada aksi pusingan keempat Piala Liga Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
Reuters

London: Rekod Manchester United di Old Trafford musim ini sangat buruk dan mungkin satu-satunya cara mengubah nasib mereka adalah menerusi kunjungan ke Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu ini.

United yang dibimbing Erik Ten Hag dicemuh penyokong sendiri ketika rehat dan hujung perlawanan apabila kecundang 0-3 di tempat sendiri di tangan Newcastle United pada aksi pusingan keempat Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.

Ia adalah kekalahan 0-3 kedua berturut-turut di tempat sendiri dan setakat ini, mereka tewas lima daripada 10 aksi di tempat sendiri dalam semua kejohanan.

Penyokong tidak mudah meletakkan harapan tinggi di tempat lawan dan mereka tidak terpedaya dengan kemenangan tipis berturut-turut ke atas dua kelab yang baru dinaikkan ke liga utama, Burnley dan Sheffield United.

Fulham yang kini menduduki tangga ke-14 liga jelas lebih mencabar pada perlawanan Sabtu ini, walaupun anak buah Marco Silva turut berdepan masalah kekal dengan aksi konsisten.

United yang kini menduduki tangga kelapan liga dikecam media, pengulas dan bekas pemain selepas kekalahan awal pagi tadi dengan penganalisis Sky Sports, Gary Neville sekurang-kurangnya menunjukkan simpati kepada Ten Hag.

"Saya tidak pasti di mana dia akan bermula selepas ini, tiada seorang pun daripada mereka boleh mengatakan berhak untuk bermain," kata Neville yang juga bekas bek kanan United kepada Sky Sports.

Musim lalu, Ten Hag menyelamatkan pasukan itu dengan memenangi Piala Liga Inggeris yang juga trofi pertama sejak 2017 dan menduduki tangga ketiga EPL.

Tetapi kini, kelab itu sekali lagi berada dalam prestasi menjunam dan songsang sejak bekas pengurus, Sir Alex Ferguson bersara, sedekad lalu.

Ten Hag terus mahu melawan selepas kekalahan di tangan Newcastle dan majoriti peminat United masih mempertahankannya.

"Jika dia gagal mendapat keputusan positif dalam beberapa perlawanan selepas ini, sikap penyokong terhadap Ten Hag akan berubah dengan cepat," kata bekas penyerang United, Andy Cole kepada Sky Sports.

Pada ketika United disingkirkan Newcastle, Fulham mara ke suku akhir Piala Liga Inggeris hasil kemenangan ke atas kelab Liga Kejuaraan, Ipswich Town.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 9:48 PM