PEMAIN United meraikan kejayaan berjaya mara ke final Piala FA. FOTO AFP
PEMAIN United meraikan kejayaan berjaya mara ke final Piala FA. FOTO AFP
AFP

London: Erik ten Hag berikrar Manchester United akan melakukan apa sahaja bagi menghalang Manchester City menyamai pencapaian treble yang dilakar kelabnya selepas mereka menewaskan Brighton untuk menempah aksi final Piala FA menentang seteru setempat itu.

United menang 7-6 menerusi penentuan penalti di Wembley malam tadi selepas perlawanan terikat tanpa jaringan, dengan pemain pertahanan, Victor Lindelof muncul wira menyudahkan penalti kemenangan.

Kemenangan itu mengubat kekecewaan mereka pada Liga Europa pertengahan minggu lalu yang menyaksikan mereka tewas 3-0 di tangan Sevilla dalam saingan suku akhir dan tersingkir 2-5 secara agregat.

Namun pasukan harus mencari lebih banyak kelebihan pada aksi final Piala FA yang dijadual berlangsung 3 Jun ini sekiranya mahu menewaskan City yang sedang memburu gelaran trebel Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

City menjadi pilihan untuk menjuarai ketiga-tiga trofi itu musim ini selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

United berada di laluan tepat dalam perebutan tiga trofi sebelum kecundang di Sepanyol, Khamis lalu namun mereka masih mengejar gelaran berganda di peringkat domestik selepas memenangi Piala Liga pada Februari lalu bagi menamatkan kemarau enam tahun tanpa gelaran.

Pengendali United, Ten Hag nyata memuji keupayaan pasukannya yang mampu menunjukkan kebangkitan.

"Pertamanya kami mempunyai fizikal, kuat, mentaliti yang kuat, jadi kami menunjukkan karakter dan personaliti diperlukan... kami bertekad untuk memenangi perlawanan ini," katanya.

Namun pengendali dari Belanda itu berkata, pasukannya harus mempelajari untuk mengubah skrip ketika perlawanan sukar - mereka tewas dalam beberapa perlawanan musim ini termasuk kalah 6-3 di tangan City dan 7-0 kepada Liverpool.

"Apa yang kita sudah buktikan adalah kami boleh menangani kekecewaan, kami boleh bangkit antara perlawanan itu," katanya.

"Tetapi sekarang, apa yang kami perlu perbaiki adalah untuk bangkit semula dalam perlawanan sukar, stadium di tempat lawan – tidak kira apa, kami perlu menunjukkan personaliti."

United kekal menjadi satu-satunya kelab Inggeris yang memenangi treble yang melengkapkan kecemerlangan di bawah bekas pengendali Alex Ferguson pada 1999.

Mereka pernah menyekat Liverpool daripada memenangi ketiga-tiga trofi pada 1977 dengan memenangi Piala FA pada tahun yang sama.

Dalam pada itu, Ten Hag secara berseloroh berkata, dia tidak akan mendedahkan 'kunci' untuk menundukkan City, yang tewas 2-1 di Old Trafford pada Januari.

"Saya tidak akan memberitahu kamu," katanya.

"Saya akan menyimpannya untuk diri saya sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 10:02 AM