TINDAKAN Ten Hag (kanan) memberikan kebebasan kepada Rashford membolehkan pemain itu meledak 30 gol musim lalu. FOTO REUTERS
TINDAKAN Ten Hag (kanan) memberikan kebebasan kepada Rashford membolehkan pemain itu meledak 30 gol musim lalu. FOTO REUTERS
Reuters

Manchester: Selepas musim sulung Erik ten Hag membawa perubahan nasib kepada Manchester United, wujud keyakinan secara semulajadi di kelab paling berjaya di England itu buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Sejak kali terakhir United menang Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah Alex Ferguson pada 2013, pengurus gantian iaitu David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer semuanya gagal mengembalikan kegemilangan silam, tetapi Ten Hag dilihat semakin menunjukkan peningkatan.

Tahun lalu, dia mula mengemudi skuad United yang memungut mata paling rendah di EPL iaitu 58 mata pada musim 2021-22 dan lima tahun kemarau trofi.

Bekas pengurus Ajax itu membina pasukan berpusatkan beberapa personaliti hebat seperti Bruno Fernandes, Lisandro Martinez dan Casemiro, yang bergerak secara terus dalam serangan dan tidak penat bekerja tanpa bola.

Perubahan prestasi sangat ketara apabila menamatkan kempen di tangga ketiga liga, meraih trofi Piala Liga dan mara ke final Piala FA, musim lalu.

Bagaimanapun, tamparan hebat turut dialami mereka apabila dibelasah di Liverpool, Brentford, Manchester City serta Sevilla dan kelemahan didedahkan lawan itu cuba ditutup pada jendela perpindahan pemain ketika ini.

Pemain tengah England, Mason Mount dibawa masuk untuk memberi lebih pilihan buat United di jentera tengah, manakala penjaga gol, Andre Onana dianggap pengganti sesuai kepada David de Gea yang semakin kerap melakukan kesilapan mudah.

Pencarian United untuk mendapatkan penyerang sudah berakhir apabila media Britain melaporkan mereka sudah mencapai persetujuan dengan kelab Serie A, Atalanta mengenai penyerang muda Denmark, Dane Rasmus Hojlund.

"Saya fikir, perbezaan jika dibandingkan dengan musim lalu adalah kali ini kami memiliki skuad dengan asas mencukupi," kata Ten Hag.

"Sebabnya, kami sudah membina asas pada musim lalu. Jadi (kami bina) skuad, cara bermain dan sekarang, kami perlu mencari pemain tepat yang sesuai dan mampu memberikan hasil."

United bertindak bijak apabila mengikat penyerang, Marcus Rashford dengan kontrak jangka panjang selepas dia cemerlang menjaringkan 30 gol dalam kempen musim lalu.

Bagaimanapun, di sebalik peningkatan aksi di padang, kekalutan dalam proses pemilikan kelab membayangi United dalam tempoh yang panjang.

November lalu, pemilik United dari Amerika Syarikat (AS) menyatakan mahu menjual kelab itu, tetapi masih tiada penghujung selepas hampir sembilan bulan berlalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 10:50 AM