ALIF Azreen (kiri) bersama pemain utama pasukan Royal Navy FC Thailand.
ALIF Azreen (kiri) bersama pemain utama pasukan Royal Navy FC Thailand.

Dua pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi melakar sejarah apabila dipilih mewakili Pusat Sukan Tumpuan (PST Malaysia) ke Kejohanan Futsal Persahabatan Antarabangsa di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Kejohanan itu program tajaan penuh Kementerian Pendidikan kepada pasukan PST Malaysia bagi menyiapkan pasukan menghadapi Kejohanan Universiti Asia (AUG) yang bakal berlangsung di Abu Dhabi, tahun depan.

Dua pelajar berkenaan, Alif Azreen Rosli dan Mohamed Shakireen Mohamed Yusoff terpilih selepas melepasi fasa kelima pemilihan untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan itu.

Lebih membanggakan apabila hanya pemain KPTM Bangi disenarai pendek bagi mewakili PST Malaysia daripada IPTS bertaraf kolej. Mereka menjalani lima fasa pemilihan pusat yang diselaraskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kejohanan Futsal Persahabatan Antarabangsa 2015 menampilkan satu pasukan dari Malaysia dan tujuh pasukan Thailand.

Alif Azreen berkata, pengalaman bermain dengan pemain ternama Thailand daripada pasukan seperti Chanburi Bluewave FC dan Royal Navy FC menyuntik semangatnya untuk meningkatkan prestasi dalam futsal.

Pengalaman itu akan dicurahkan kepada pemain pasukan futsal KPTM Bangi selagi dia masih belajar di kolej itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:21 AM