Pemain Tottenham, Son Heung-Min menyempurnakan penalti dan juga gol kemenangan pasukannya ke atas Southampton pada aksi EPL pagi ini. FOTO Agensi
Pemain Tottenham, Son Heung-Min menyempurnakan penalti dan juga gol kemenangan pasukannya ke atas Southampton pada aksi EPL pagi ini. FOTO Agensi
AFP

London: Tottenham mencatat kemenangan selepas pemecatan Jose Mourinho ketika penalti minit akhir Son Heung-min memberi kelebihan 2-1 menewaskan Southampton pagi ini, dalam perlawanan pertama mereka sejak menarik diri daripada kontroversi Liga Super Eropah (ESL).

Mourinho dipecat Isnin lalu selepas 17 bulan mengambil alih sebagai pengendali kelab utara London itu, tetapi pemecatannya dibayangi isu ESL.

Tottenham berdepan peluang sukar untuk berada dalam kelompok empat teratas liga dan tersingkir dari saingan Liga Europa oleh Dinamo Zagreb selain terpalit dengan cadangan penubuhan ESL.

Walau bagaimanapun mereka akhirnya menjadi salah satu daripada enam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menarik diri daripada kejohanan berasingan itu semalam selepas menerima tekanan memuncak.

Meraikan menolakkan Liga Super dan mendesak pengerusi Tottenham, Daniel Levy untuk meletak jawatan, sekumpulan penyokong setia kelab itu berkumpul di luar stadium sambil memegang sepanduk: "Kami kata tidak pada Liga Super" dan "Terima kasih kerana tiada kenangan. Masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Singkirkan Levy."

Pembentukan ESL gagal dalam tempoh hanya 48 jam selepas pelbagai reaksi, memaksa Tottenham memberi tumpuan kepada cara tradisi untuk berada dalam kelompok elit Eropah.

Kemenangan pertama selepas ketiadaan Mourinho memberi motivasi tinggi buat seluruh kelab itu.

Danny Ings meletakkan Southampton di depan, tetapi Gareth Bale berjaya menyamakan kedudukan sebelum Heung-min menyempurnakan penalti di penghujung babak perlawanan.

Tottenham melonjak ke tangga keenam, dua mata di belakang pasukan di tempat ke empat Chelsea, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan dalam pemburuan untuk layak saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Bekas pemain Spurs, Ryan Mason yang kini bertindak sebagai pengendali sementara menggantikan Mourinho cukup berpuas hati dengan aksi anak buahnya.

"Kemenangan yang sangat hebat. Saya sangat bangga dengan pemain," kata Mason, 29, yang memulakan karier kejurulatihan di akademi remaja Tottenham dan menjadi pengendali termuda dalam sejak EPL.

"Malam ini sangat penting kerana banyak sebab, pertukaran pengurus, terlalu banyak yang hilang di kelab dalam tempoh 48 jam. Adalah penting untuk kembali mencatat kemenangan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:39 AM