ADAMS (kiri) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
ADAMS (kiri) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
Reuters

London: Southampton dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Tottenham Hotspur, hari ini sekali gus memusnahkan impian lawan mereka itu untuk menduduki kelompok empat terbaik Liga Perdana.

Son Heung-min dilihat akan memastikan Spurs meraih kemenangan menerusi gol cantik 20 minit sebelum tamat perlawanan.

Tetapi Southampton yang mempamer aksi lebih baik, meraih dua gol selepas itu dalam tempoh tiga minit.

Mohamed Elyounoussi menyamakan kedudukan minit ke-79 sebelum Che Adams menjaringkan gol kemenangan untuk pelawat minit ke-82.

Kekalahan kedua berturut-turut Spurs pada saingan liga menyaksikan mereka menduduki tempat ketujuh dengan 36 mata, ketinggalan empat mata di belakang West Ham tetapi kurang tiga perlawanan.

Ia perlawanan yang mengecewakan untuk pengurus Spurs, Antonio Conte yang menyaksikan anak buahnya gagal mempamer aksi sebenar serta tidak dapat bertahan dengan baik.

"Pada separuh masa pertama kami melakukan kesilapan serta seringkali hantaran tidak bagus dan kami mengambil risiko yang menyukarkan diri sendiri.

"Pemain memberikan segala-galanya dan atas sebab itulah kami kecewa tewas pada perlawanan ini," kata Conte.

Tottenham di depan selepas Jan Bednarek menjaringkan gol ke gawang sendiri minit ke-18 tetapi Armando Broja menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Heung-min kembali menghidupkan peluang dengan menjaringkan gol kedua minit ke-70 namun Elyounoussi dan Adams memusnahkan impian Spurs selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 10:07 AM