KANE membantu Bayern Munich menang 3-1 di Mainz. -FOTO AFP
KANE membantu Bayern Munich menang 3-1 di Mainz. -FOTO AFP
AFP

Berlin: Harry Kane menjaringkan gol kesembilannya dalam lapan perlawanan liga membantu Bayern Munich menang 3-1 di Mainz manakala Bayer Leverkusen kembali ke tangga teratas dengan menang di Wolfsburg.

Kane menanduk masuk dari jarak dekat selepas Kingsley Coman meletakkan Bayern di hadapan meneruskan prestasi menakjubkan sejak meninggalkan Tottenham pada musim panas.

Mainz yang memenangi tiga perlawanan liga di tempat sendiri sebelum ini menentang juara Jerman itu, mencuri satu gol sebelum separuh masa apabila Anthony Caci meledak gol.

Pada awal separuh masa kedua, pemain pertahanan Mainz, Stefan Bell berpeluang menyamakan kedudukan buat tuan rumah tetapi rembatannya tersasar.

Bayern bagaimanapun melancarkan serangan seterusnya dengna Leon Goretzka merembat masuk dari luar kotak untuk gol ketiga pelawat.

Kane mengakui Bayern "bertuah beberapa kali" namun memberitahu Sky Germany "ia satu kemenangan penting di gelanggang lawan."

"Saya masih berasakan ada ruang untuk meningkat – saya masih perlu memahami rakan sepasukan sebaik mungkin."

Jurulatih Bayern, Thomas Tuchel memuji ketahanan pasukannya.

"(Matthijs de Ligt) kembali daripada kecederaan, Jo (Joshua Kimmich) menghidap selesema dan Leon (Goretzka) bengkak buku lali, jadi saya gembira mengenainya. Persembahan yang cemerlang."

Bayern, yang menang kejuaraan Bundesliga 11 kali berturut-turut, kini dua mata di belakang Leverkusen selepas lapan perlawanan.

Di Wolfsburg, gol babak kedua Alex Grimaldo membolehkan Leverkusen mendahului dengan satu mata apabila menang 2-1, merampas semula tangga teratas daripada Borussia Dortmund yang menang 1-0 ke atas Werder Bremen kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 11:13 AM