Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan mengambil keputusan berani dan radikal untuk menaikkan gaji penjawat awam kerana tidak mahu membebankan golongan berkenaan, biarpun situasi ekonomi negara masih belum stabil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sebagai 'bapa' dalam keluarga besar kerajaan, majoriti penjawat awam tidak boleh dibebankan dengan kesalahan ketirisan dan keterlanjuran hutang negara.

"Jika mengikut pertimbangan dan teori ekonomi, semua kenaikan gaji sewajarnya ditangguhkan sehingga ekonomi lebih stabil, maknanya hutang (negara) kurang.

"Tetapi saya lihat dari segi Madani, ihsan, tahap kecekapan, kemampanan, bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam, kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan, kecuaian oleh pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, beliau sebelum ini mengadakan perbincangan yang teliti dan mendalam bersama Mohd Zuki serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk mempertimbangkan bagaimana kerajaan dapat memberikan kelegaan kepada penjawat awam.

"Kalau bagi sedikit, dia kata macam ala kadar pula, saya tahu sebab mungkin tak cakap depan saya tapi saya tahu (ada orang kata) ala naik pun lima peratus macam mana dan mengeluh.

"(Maka) itulah sebabnya kita naik keseluruhannya lebih 13 peratus dan bagi kategori lebih rendah itu lonjakan itu jauh lebih tinggi, 20 ke 30 peratus," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mendengar kritikan kenapa tidak mengumumkan perincian pelarasan gaji penjawat awam.

Katanya, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ada proses yang perlu diikuti.

"Secara prinsipnya kita boleh umumkan tetapi perincian yang kecil itu kita kena bentangkan dahulu kepada Jemaah Menteri.

"Kemudian ada kata pula mana tahu kalau Parlimen tak luluskan, saya nak tanya Ahli Parlimen mana nak bantah ini, kalau pun bantah, insya-Allah ada PH (Pakatan Harapan), ada BN (Barisan Nasional), GPS (Gabungan Parti Sarawak), ada GRS (Gagasan Rakyat Sabah), majoriti tetap dua pertiga insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 10:05 AM