Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland meledak dua gol ketika berdepan Frankfurt dalam saingan Bundesliga semalam. FOTO AFP
Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland meledak dua gol ketika berdepan Frankfurt dalam saingan Bundesliga semalam. FOTO AFP
AFP

Berlin: Bayern Munich adalah pasukan seterusnya yang akan membelenggu penyerang berbisa Norway, Erling Braut Haaland apabila juara bertahan Bundesliga berdepan Borussia Dortmund dalam saingan Piala Super Jerman, awal pagi Rabu ini.

Di bawah bimbingan jurulatih baharu, Julian Nagelsmann, Bayern memburu kemenangan ke 10 berturut-turut kejuaraan Bundesliga, tapi mereka terikat 1-1 di Moenchengladbach, kelmarin pada aksi pembukaan musim.

Dortmund tampil lebih meyakinkan sebelum aksi tunggal Piala Super Jerman dengan menewaskan Frankfurt 5-2 di laman sendiri semalam, ketika Haaland terbabit dalam semua lima gol yang dihasilkan tuan rumah.

Penyerang tinggi lampai yang menjangkau usia 21 tahun bulan lalu, sudah melakar sejarah apabila menjaringkan 62 gol dalam 61 perlawanan buat Dortmund.

"Haaland mempunyai pakej lengkap, itu adalah pasti. Kami memerlukan khidmatnya," kata kapten Dortmund, Marco Reus.

Haaland meledak lima gol dalam dua perlawanan awalnya musim ini.

Jaringan hatrik pada Piala Jerman disusuli aksi menakjubkan dalam saingan Bundesliga ketika dia mengatasi pertahanan Frankfurt, meledak dua gol dan mencipta gerakan buat Reus, Thorgan Hazard dan Giovanni Reyna.

Haaland membuktikan mampu mencipta ruang buat rakan sepasukan dan pada masa sama mempunyai sentuhan penyudah tajam.

Hanya ketangkasan penjaga gol Frankfurt, Kevin Trapp pada masa tambahan menafikan Haaland untuk melakukan hatrik sekali lagi.

"Sangat menakjubkan aksi konsisten yang dipamerkan di atas padang," kata ketua jurulatih Dortmund, Marco Rose.

"Kami gembira dia berada di sini dan adalah masalah bagi pihak lain untuk memikirkan bagaimana menyekatnya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 12:07 PM