REAKSI Yusri pada perlawanan malam tadi. FOTO BERNAMA
REAKSI Yusri pada perlawanan malam tadi. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah mengakui pengalaman membezakan antara pasukannya dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) sehingga berlaku beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya terjadi dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.

Katanya, jika mereka kerap beraksi, sudah pasti setiap pemain akan lebih mengetahui apa yang harus dilakukan ketika berhadapan situasi sedemikian.

"Saya masih bersyukur kerana pemain beri segalanya tapi pengalaman yang cetek, kita memiliki pemain muda memberikan ruang yang besar kepada lawan menterjemahkan jaringan.

"Saya lihat gol keempat contohnya, gol ke ketiga dan kedua, bagi saya tidak seharusnya berlaku seandainya pemain lebih matang dalam membuat tindakan," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Perak FC yang tewas 1-4 menurunkan ramai pemain muda tetapi Yusri tetap berbangga dengan barisan pemain yang diturunkan.

Selain itu, Yusri berkata, faktor terlalu menghormati lawan lawan dan dua gol awal ternyata memberi kesan sangat besar kepada pasukannya selain perbezaan jurang antara dua pasukan berkenaan.

"Pemain memiliki teknikal yang baik cuma mungkin rasa hormat terlalu tinggi terhadap lawan. Aspek yang saya tekankan kepada pemain perlu berani membuat tindakan sekiranya tidak dapat lakukan hantaran, lindungi bola dari kehilangan begitu sahaja.

"Pada masa sama, gol awal membunuh perjuangan kita, mungkin kita lambat 'settle down', saya akui dan ambil tanggungjawab untuk kekalahan malam ini (malam tadi)," katanya.

Jaringan tunggal Perak FC hadir menerusi Luciano Guaycochea pada minit ke-76.

Skuad Esteban Solari pula memperoleh empat jaringan menerusi Oscar Arribas seawal minit ke-7, Arif Aiman (m-12), Shahrul Saad (m-71) dan Nazmi Faiz (m-81).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 10:38 AM