ANTARA aksi Perak bertemu Sabah di Stadium Likas malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
ANTARA aksi Perak bertemu Sabah di Stadium Likas malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Perak FC perlu memikirkan strategi terbaik untuk berdepan dengan Sabah FC pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Ipoh pada 25 September ini.

Selepas berjaya mengikat Sabah 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, malam tadi, ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah, berkata beliau sedar masih ada 90 minit lagi baki perlawanan yang perlu ditempuhi anak buahnya.

Beliau berkata, pasukannya bernasib baik dapat menyamakan kedudukan dengan agregat 2-2 atas usaha gigih anak buahnya malam tadi, namun tetap menganggap Sabah sebagai pasukan yang kuat.

"Syukur alhamdulillah keputusan yang Allah berikan kepada kami malam ini (malam tadi), walaupun kita sedar masih ada perjuangan 90 minit lagi.

"Bagi saya, Sabah sebuah pasukan yang cukup kuat dan sememangnya kami bernasib baik dapat dua jaringan dan kredit harus diberikan kepada semua peemain malam ini.

"Sekarang kita perlu fikirkan yang lebih baik untuk perlawanan timbal balik nanti pada 25 September dan saya harap pemain lebih bersedia," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beliau berkata, dua jaringan awal Sabah FC masing-masing pada babak pertama dan kedua perlawanan malam tadi tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, walaupun anak buahnya mendapat semula rentak selepas kedua-dua jaringan awal itu dan berjaya menyamakan kedudukan, kesilapan itu perlu dielak.

"Kedudukan sekarang masih lagi 50-50, jadi kita perlu cuba yang terbaik pada perlawanan kedua nanti," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Perak berjaya menyamakan kedudukan menerusi Luciano Guaycochea pada minit ke-10 dan Wan Zack Haikal pada minit ke-54 selepas Sabah mendahului pada minit keempat menerusi Darren Lok dan Ramon Machado pada minit ke-45.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 11:53 AM