Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kalendar Liga Malaysia (Liga M) tiada lagi 'cacar marba' apabila saingan itu akan berlangsung mengikut kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, perubahan itu akan diumumkan kelak selepas semua perbincangan dan penelitian menyeluruh selesai dilakukan.

Beliau berkata, saingan Liga M kemungkinan akan bermula pada April sekali gus dapat memastikan Liga M selari dengan liga di rantau Asia, dan sesuai dengan kelab yang bertanding diperingkat kejohanan AFC serta pasukan kebangsaan.

"Jendela perpindahan kita selari dengan liga utama dunia. Kalau jendela perpindahan kita tidak diterima atau tidak berada dalam blok yang betul, kita akan hanya terima pemain import yang mungkin tiada pasukan.

"Saya berasa semua orang faham ini bukan satu transisi yang kita ingin alami tetapi satu perkara yang perlu kita terima. Pergerakan musim bukan pergerakan yang dimulakan MFL, tetapi AFC sendiri.

"Kita hanya menerima dan sambung apa yang perlu dilakukan untuk liga kita. Jika kita tak berubah, ia akan beri impak kepada liga kita dan perubahan ini adalah perubahan yang kita perlu terima.

"Kita sudah menggerakkan perbincangan dengan pasukan dan kita juga memaklumkan kepada semua pihak berkepentingan mengenai inisiatif untuk menggerakkkan kalendar musim kami ke April tahun depan," katanya.

Selain itu, Stuart turut menjelaskan perubahan itu juga akan menyaksikan pusingan kalah mati bagi pertandingan Piala FA akan diadakan secara timbal balik berbanding hanya satu aksi musim ini.

Beliau berkata, mengenai kontrak pemain pula pihaknya akan mengeluarkan garis panduan kepada semua pasukan dan juga Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

"Saya ada pengalaman ini waktu Covid-19 apabila liga ditangguh atau dibatalkan. Ketika itu saya di FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan kita keluarkan garis panduan gaji pemain.

"Jadi kita akan keluarkan garis panduan serupa untuk pastikan perkara ini dapat dilakukan dengan sempurna.

"Malah, dengan perjalanan musim yang mungkin panjang tahun depan kita akan kemukakan format baharu Piala FA untuk memastikan kita ada dua aksi peringkat kalah mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:31 PM