PENYOKONG Maghribi bersemangat pada aksi suku akhir menentang Portugal di Piala Dunia Qatar 2022, tahun lalu. FOTO FAIL REUTERS
PENYOKONG Maghribi bersemangat pada aksi suku akhir menentang Portugal di Piala Dunia Qatar 2022, tahun lalu. FOTO FAIL REUTERS
Reuters

Rabat: Selepas lima bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia sebelum ini gagal, Maghribi akhirnya diberi penghormatan menganjurkannya bersama-sama Sepanyol dan Portugal pada 2030.

Pengumuman gembira itu sudah pasti menaikkan semangat negara Afrika Utara itu yang dilanda gempa bumi yang mengorbankan hampir 3,000 orang, sebulan lalu.

Piala Dunia pasti meningkatkan ekonomi Maghribi, yang berdepan tekanan berikutan inflasi tinggi dan kekurangan bahan asas, lapor Bank Dunia.

Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) yang membuat pengumuman mengejut setahun lebih awal berbanding dirancang, berkata Maghribi, Portugal dan Sepanyol akan menganjurkan kejohanan pada 2030, tetapi menambah Uruguay, Argentina dan Paraguay turut akan menjadi tuan rumah satu perlawanan bagi meraikan ulang tahun ke-100 kejohanan.

Pemerhati berkata, perjalanan dari Maghribi ke dua negara Iberia itu penting untuk bidaan berkenaan.

"Kedudukan geografi yang baik antara tiga negara itu mempengaruhi keputusan penganjuran bersama dan kebelakangan ini, penganjuran bersama menjadi perkara biasa.

"Ia menandakan bola sepak membuatkan kita bersatu dan bukannya memisahkan kita," kata penganalisis di BeIN Sports, Muhammad Suhail.

Bidaan Maghribi untuk menjadi tuan rumah tunggal pada 1994, 1998 dan 2006 tidak berjaya.

Keputusan Fifa mengehadkan bidaan edisi 2010 kepada negara Afrika membuka peluang Maghribi, namun hak penganjuran diberikan kepada Afrika Selatan.

Maghribi mencuba lagi untuk 2026, tetapi tuan rumah diberikan kepada Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 9:32 AM