SEPANYOL dan Protugal berusaha membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030. - FOTO AFP
SEPANYOL dan Protugal berusaha membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030. - FOTO AFP
AFP

Madrid: Sepanyol dan Portugal masing-masing berusaha untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 dalam satu upacara ringkas penuh simbolik di Metropolitano Stadium di Madrid sebelum sepak mula perlawanan pemanas badan Euro2020 membabitkan dua negara itu.

"Kerajaan Sepanyol dan Portugal ingin menyatakan keinginan dan komitmen mereka untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030," kata kenyataan yang menyokong bidaan Perdana Menteri Portugal, Antonio Costa dan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez.

Kedua-dua pemimpin menandatangani kesepakatan di hadapan Raja Sepanyol Felipe VI dan Presiden Portugal Marcelo Rebelo de Sousa di stadium Atletico Madrid sebelum sepak mula.

Perlawanan yang berlangsung semalam juga adalah penampilan yang ke seratus tahun Portugal di pentas antarabangsa selepas mereka tewas kepada Sepanyol di Madrid 3-1 pada Disember 1921.

Kedua-dua pasukan bergambar di atas padang dengan memakai baju T yang bertulis 'Vamos2030'.

"Hari ini kami menandatangani komitmen bagi kedua-dua persekutuan untuk bekerjasama menganjurkan Piala Dunia," kata Presiden Persekutuan Bolasepak Protugal, Fernando Gomes.

Gomes dan rakan sejawatannya dari Sepanyol, Luis Rubiales, mengesahkan perjanjian yang ditandatangani Oktober lalu untuk mempromosikan tawaran membida Piala Dunia 2030.

FIFA merancang untuk mengumumkan tuan rumah 2030 pada tahun 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 10:20 AM