BINTANG baru Real Madrid, Jude Bellingham (kiri) menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menang 3-0 ke atas Girona, Ahad lalu. FOTO AFP
BINTANG baru Real Madrid, Jude Bellingham (kiri) menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menang 3-0 ke atas Girona, Ahad lalu. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti terbukti bukan seorang pendendam apabila dia kembali ke ibu negara Sepanyol itu sekalipun pernah dipecat oleh pengerusi Los Blancos, Florentino Perez pada 2015.

Bagaimanapun, pengendali berusia 64 tahun itu pasti ingin membuktikan sesuatu apabila Real Madrid bertandang ke Napoli pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Diego Armando Maradona, awal pagi Rabu.

Ancelotti dipecat oleh presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis pada Disember 2019, kurang sejam selepas membimbing Napoli mara ke peringkat kalah mati UCL selepas menang 4-0 ke atas Genk.

Ketika itu, mereka menduduki tempat ketujuh Serie A dan menang Scudetto kali pertama dalam tempoh 33 tahun pada 2023, jadi De Laurentiis pasti menganggap keputusannya itu memang tepat.

Ancelotti membimbing Napoli selama setahun setengah termasuk menduduki tempat kedua liga pada kempen 2018-19, tetapi khidmatnya tidak diperlukan secara serta-merta.

Ancelotti dilihat mencapai kemuncak beberapa tahun sebelum itu dan kemudian dijangka dilantik untuk mengemudi Everton.

Situasi tegang di bilik persalinan dan perbalahan dengan De Laurentiis mengenai kem latihan menyebabkan kejatuhannya di Campania.

Presiden itu kemudian merasakan Ancelotti tidak berminat mengurus pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, kepulangan mengejut Ancelotti ke Madrid pada 2021 kembali meletakkannya dalam kelompok elit dan pada 2022, dia menang gelaran keempat UCL sebagai pengurus iaitu lebih banyak berbanding pengurus lain, selain merangkul gelaran La Liga.

Kemenangan Madrid 3-0 di Girona pada Ahad lalu memastikan mereka hadir ke Itali sebagai pendahulu La Liga, walaupun sebelum itu tewas kepada seteru setempat, Atletico Madrid.

Kekalahan 1-3 di Metropolitano pada 24 September itu menyebabkan Ancelotti dikritik mengenai penggunaan taktik dan sistem pemain tengah berbentuk berlian.

Bagaimanapun, dia melakukan beberapa perubahan kecil dan terbukti berkesan.

"Kemenangan di tempat lawan ini bermakna kami bermain dengan baik dan menonjolkan kekuatan pertahanan yang sangat bagus," kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 10:59 AM