KROOS (kiri) dan Modric diletakkan di bangku simpanan ketika Real Madrid menewaskan Athletic Bilbao, Ahad lalu. FOTO Reuters
KROOS (kiri) dan Modric diletakkan di bangku simpanan ketika Real Madrid menewaskan Athletic Bilbao, Ahad lalu. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Carlo Ancelotti berkata, dua pemain tengah veteran, Luka Modric dan Toni Kroos masih pemain utama Real Madrid walaupun mereka digugurkan pada perlawanan hujung minggu lalu.

Skuad Los Blancos menang 2-0 di Athletic Bilbao, Ahad lalu dan dua pemain veteran itu berada di bangku simpanan manakala Eduardo Camavinga dan Dani Ceballos beraksi dalam kesebelasan utama.

Modric, 37, dan Kroos, 33 - yang akan tamat kontrak pada hujung musim ini - berdepan persaingan sengit musim ini apabila Ancelotti menyatakan Real kini dalam tempoh peralihan.

"Mereka adalah pemain profesional dan faham apa maksud kelab ini," kata Ancelotti menjelang perlawanan suku akhir Copa del Rey dengan Atletico Madrid, esok.

"Mereka tahu kualiti dimiliki pasukan ini dan saya tidak perlu menjelaskan apa-apa.

"Kami sudah bercakap mengenai perkara ini sejak awal musim, ini adalah saat peralihan dan semua orang perlu faham mengenainya sama ada pemain muda atau veteran."

Modric menyertai Real Madrid pada 2012 manakala Kroos hadir pada 2014 dan mereka memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan itu.

Mereka memenangi tiga gelaran La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), selain beberapa trofi lain.

Sebelum ini, mereka turut bergandingan dengan Casemiro, tetapi pemain Brazil itu berhijrah ke Manchester United pada musim panas lalu dan Aurelien Tchouameni mengambil alih peranannya pada musim ini.

Ancelotti berkata, sekalipun digugurkan ketika menentang Athletic, dua pemain itu tetap memiliki peranan utama bersama Real.

"Sudah tentu mereka akan bermain bersama-sama, mereka beraksi cemerlang musim ini dan menjadi kunci utama dan akan terus melakukannya," kata jurulatih itu.

Ancelotti mengakui pemain tengah, Fede Valverde tidak mencapai prestasi terbaik semula selepas Piala Dunia Qatar 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 10:06 PM