JALIL Elias. FOTO AGENSI
JALIL Elias. FOTO AGENSI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Benarkah Johor Darul Ta' zim (JDT) sedang memburu seorang lagi pemain import berkualiti dari Argentina?

Itu persoalan yang timbul susulan wujud laporan media yang mengaitkan bekas arkitek tengah Newell's Old Boys, Jalil Elias dengan skuad Harimau Selatan.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, tonggak berusia 27 tahun itu bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Leandro Velazquez yang sedang menjalani proses pemulihan ekoran kecederaan serius dihadapinya.

Laporan berkenaan berkata, Elias akan mula menyertai JDT pada jendela perpindahan Januari depan bagi memperkukuhkan skuad kendalian Estaban Solari terutama bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia.

Hasil tinjauan Arena Metro di beberapa video babitkan aksi Elias di YouTube, dapat disaksikan corak permainannya cukup kemas khususnya hantaran yang tepat dan gemar bermain gaya permainan mudah, di mana ia sememangnya corak dan falsafah JDT.

Begitupun, pemain yang beraksi dengan San Lorenzo itu tidak mempunyai rekod baik dalam aspek menjaringkan gol.

Berdasarkan rekod, dia hanya mampu mencetak dua gol sepanjang bergelar pemain profesional sejak 2015.

Jika ia benar, Elias dijangka bergandingan bersama Hong Wan di posisi tengah bagi membentuk satu gandingan mantap buat JDT.

Sebelum ini, beberapa nama pemain ternama dikaitkan dengan juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu antaranya bekas penyerang Manchester United, Radamel Falcao dan tonggak tengah pemenang Piala Dunia dari Argentina, Papu Gomez.

Namun semua itu hanya khabar angin ataupun salah satu strategi pemasaran buat kelab dari Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 4:19 PM