TEN Hag enggan melepaskan Maguire. FOTO AFP
TEN Hag enggan melepaskan Maguire. FOTO AFP
Agensi

London: Erik Ten Hag memberitahu Harry Maguire bahawa dia masih diberikan peluang untuk kembali membarisi kesebelasan utama selepas menolak tawaran Inter Milan untuk mendapatkan pemain itu secara pinjaman.

Inter berharap untuk menawarkan Maguire beraksi di Serie A, tetapi bos Manchester United, Ten Hag enggan membenarkannya pergi.

Bek tengah itu hanya memulakan empat perlawanan liga musim ini, dengan Lisandro Martinez dan Raphael Varane menjadi pilihan utama Ten Hag.

Bagaimanapun Ten Hag pada minggu ini memberitahu Maguire bahawa dia mempunyai banyak peluang membuktikan kemampuannya pada aksi separuh musim kedua.

Pengendali dari Belanda itu kagum dengan sikap Maguire ketika sesi latihan dan bagaimana reaksinya selepas kehilangan tempat dalam kesebelasan utama sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ten Hag meyakinkannya bahawa jadual perlawanan United yang padat pada separuh kedua musim ini akan menawarkan lebih banyak peluang kepadanya untuk bermain.

United akan mengharungi lapan perlawanan bulan ini, dengan bulan depan akan lebih sibuk jika mereka memenangi aksi play-off Liga Europa menentang Barcelona.

Inter adalah antara beberapa kelab yang bertanyakan mengenai status Maguire, yang beraksi dalam semua lima perlawanan England di Qatar, tetapi hanya menjadi pilihan utama tiga kali untuk United selepas Piala Dunia.

Bekas bintang Leicester bernilai £85 juta (RM436.2 juta) dimasukkan pada minit-minit akhir ketika United beraksi dengan sepuluh pemain sebelum menewaskan Crystal Palace 2-1 di tempat sendiri awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 7:48 PM