AMRABAT dipinjam dari Fiorentina.
AMRABAT dipinjam dari Fiorentina.
Reuters

London: Manchester United menandatangani pemain tengah Maghribi Sofyan Amrabat dari Fiorentina dan pertahanan kiri Sepanyol Sergio Reguilon dari Tottenham Hotspur dengan pinjaman jangka panjang, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu awal pagi tadi.

Tiada butiran kewangan didedahkan untuk perpindahan Amrabat, 27, tetapi media Britain berkata United akan membayar 8.6 juta pound (RM50.30 juta) dan disertakan pilihan belian.

"Satu penghormatan besar menjadi pemain Manchester United. Saya perlu bersabar untuk detik ini tetapi saya selalu mendengar kata hati saya dan kini saya beraksi dengan kelab impian," katanya.

Amrabat yang memiliki 49 kap beraksi setiap minit untuk Maghribi ketika pasukan itu mencipta kejutan selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu.

Reguilon yang berusia 26 tahun hadir sebagai pengganti pemain England Luke Shaw yang diketepikan beberapa minggu susulan kecederaan otot manakala Tyrell Malacia turut tidak dapat beraksi selepas mengalami kecederaan musim lalu.

Reguilon hasil produk akademi Real Madrid menyertai Spurs pada 2020 selepas semusim dipinjamkan ke Sevilla menyaksikan dia memenangi Liga Europa.

"Selepas bercakap dengan pengurus (Eric ten Hag), saya tahu apa yang dia mahukan dan saya sedia memainkan peranan untuk membantu kejayaan pasukan," kata Reguilon.

"Saya tahu saya boleh menyumbang untuk Manchester United musim ini. Saya sedia berjuang dan membuktikan kualiti saya."

Reguilon tampil 60 perlawanan bersama Spurs dalam dua musim pertamanya di England tetapi menghabiskan musim 2022-23 secara pinjaman di Atletico Madrid.

United kini berada di tangga kelapan dengan enam mata dari tiga aksi EPL dan malam esok mereka akan berkunjung ke Arsenal yang menduduki tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 7:43 AM