AFP

Madrid: Lionel Messi (gambar tengah) memukau dengan dua gol dan membantu dua jaringan lagi ketika Barcelona membelasah Celta Vigo 5-0 dalam perlawanan pertama sejak jurulatih Luis Enrique mengumumkan akan meninggalkan kelab itu akhir musim ini.

Real Madrid kekal satu mata di belakang Barca di puncak La Liga dengan kurang satu perlawanan apabila Karim Benzema menjaringkan dua gol berikutan ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale untuk menang 4-1 di Eibar.

Aksi penuh inspirasi daripada Messi awal pagi semalam mencerahkan harapan Barca untuk bangkit pada perlawanan Liga Juara-Juara selepas tewas 0-4 di tangan Paris Saint-Germain pada perlawanan terdahulu.

“Sebelum ini kami tewas tapi dengan aksi menakjubkan, kami mampu menebus kekalahan jika bermain dengan baik,” kata Enrique.

Malah skuad juara itu langsung tidak terkesan dengan kemungkinan Enrique bakal meninggalkan kelab itu menerusi aksi terbaik mereka musim ini.

“Saya yakin kami akan mempunyai penamat terbaik musim ini,” kata Enrique.

Messi membuka jaringan dengan penuh bergaya pada minit ke-24 apabila masuk ke kawasan Celta dan mengatasi beberapa pertahanan sebelum merembat masuk.

Bagaimanapun penyudah gol kedua Barca juga tidak kurang hebatnya apabila hantaran Messi disambut Neymar yang menolak bola melepasi kepala Sergio Alvarez dari jarak dekat.

Dominasi tuan rumah berterusan menerusi gol ketiga sebelum sejam perlawanan biarpun mereka mempunyai beberapa peluang apabila percubaan Ivan Rakitic dikira ofsaid apabila merembat hantaran Rafinha.

Messi sekali lagi membantu untuk jaringan keempat pasukan apabila hantaran rendahnya dimanfaatkan Samuel Umtiti untuk gol pertamanya bersama Barca.

Pemain yang menerima lima anugerah pemain terbaik tahunan itu mempamerkan satu lagi aksi solo untuk mengakhiri pesta gol apabila menyusup masuk dari sebelah kanan sebelum meledak jaringan melepasi Alvarez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:41 AM