DARMIAN meraikan kejayaan meledak gol pertama Itali bersama Federico Dimarco. -FOTO Reuters
DARMIAN meraikan kejayaan meledak gol pertama Itali bersama Federico Dimarco. -FOTO Reuters
AFP

Rome: Itali mempunyai kelebihan untuk layak ke pusingan akhir Euro 2024 selepas melakar kemenangan selesa 5-2 ke atas Macedonia Utara.

Federico Chiesa menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama selepas Matteo Darmian meletakkan tuan rumah mendahului.

Giacomo Raspadori dan Stephan El Shaarawy melengkapkan malam gemilang Itali namun dua jaringan separuh masa kedua daripada Jani Atanasov menggentarkan Azzurri.

Kemenangan di Stadio Olimpico di Rome melonjakkan Itali ke tangga kedua Kumpulan C di belakang England yang sudah layak.

Ini bermakna pasukan Luciano Spalletti hanya perlu seri menentang pasukan tangga ketiga Ukraine di Leverkusen Isnin ini untuk menempah tempat dalam kejohanan musim panas akan datang di Jerman.​

"Yang penting kami menang. Kami melepaskan dua gol yang saya rasa kami tidak layak untuk dibolosi," kata Chiesa.

"Kami lebih positif di bawah Spalletti dan itu bermakna kami mengambil beberapa risiko lagi dalam pertahanan. Kami menunjukkan bahawa kami mahu mendominasi permainan dan kami berhak untuk menang."

Jika layak ia akan membantu juara Eropah itu menguburkan mimpi ngeri kegagalan tahun lalu untuk layak ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Itali berdepan kesukaran dalam sejarah mereka menentang Macedonia Utara, kalah 1-0 di laman sendiri pada kelayakan Piala Dunia 2022 dan kemudian seri 1-1 pada aksi kelayakan Euro dalam perlawanan sulung kendalian Luciano Spalletti sebagai jurulatih Azzurri September lalu.

Itali, kehilangan ramai pemain kerana kecederaan dan penggantungan, menyangka mereka mendahului pada minit ke-13 apabila Raspadori menjaringkan gol daripada hantaran cantik berwajaran Jorginho.

Gol berkenaan bagaimanapun dibatalkan kerana ofsaid namun kebangkitan tuan rumah tidak akan dinafikan dan Darmian menanduk masuk gol pembuka hasil hantaran silang Raspadori empat minit kemudian.

Selepas 40 minit, Itali berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan daripada sepakan penalti selepas Nikola Serafimov dipersalahkan kerana memegang bola namun percubaan Jorginho diselamatkan penjaga gol Stole Dimitrievski.

Chiesa bagaimanapun menggandakan kedudukan empat minit sebelum rehat menerusi satu sepakan lencong dari penjuru kotak penalti.

Pada masa kecederaan babak pertama, Itali mendapat gol ketiga apabila Chiesa menerima satu lorongan bola dalam kotak penalti, mengatasi seorang pertahanan dan menyumbat masuk menerusi percubaan yang terbias.

Macedonia Utara kembali merapatkan kedudukan selepas 52 minit apabila Jani Atanasov menanduk masuk hantaran silang dari jarak dekat sebelum menyumbat gol keduanya menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-74.

Raspadori menghancurkan harapan pelawat sembilan minit sebelum tamat dengan gol dari satu sudut sukar dalam kotak penalti manakala Stephan El Shaarawy menambah gol kelima Itali pada masa kecederaan.

"Gol kedua tertampan oleh pemain pertahanan kami, ia biasa, jadi ia mengubah aspek psikologi perlawanan itu," kata Spalletti.

"Pada saat itu, saya fikir kami menyaksikan persembahan terbaik Itali dari segi karakter dan kualiti ketika kami menunjukkan kekuatan untuk terus menyerang dan meraih kemenangan dengan dua gol lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 10:14 AM