MANUEL Ott. FOTO KDA FC
MANUEL Ott. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Ott mahu momentum kejayaan mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-3 Sabtu lalu dapat dikekalkan bagi menghadapi baki perlawanan Liga Super dan Piala Cabaran, musim ini.

Kedah dijadual beraksi pada perlawanan timbal balik suku akhir Piala Cabaran berdepan Kuching City FC pada 19 September ini dan 4 Oktober dengan lima aksi Liga Super menyusul selepas itu.

"Aksi berdepan pendahulu Liga Super, JDT minggu lalu cukup baik buat pasukan menuju ke hujung liga dan saya yakin skuad ini sedang menuju ke hadapan.

"Semestinya sasaran kami adalah tempat kedua liga dan layak untuk ke saingan peringkat AFC pada musim depan.

"Selain itu kami juga mahu membuktikan keupayaan sebenar di saingan Piala Cabaran musim ini dengan aksi pertama bertemu Kuching City FC di suku akhir. Jadi dengan semua baki perlawanan yang akan dihadapi, sudah pasti ia bukan mudah dan kami perlu tingkatkan tahap kecergasan.

"Rekod lima kemenangan yang kami capai dalam saingan liga sebelum ini akan menjadi satu suntikan semangat serta motivasi penting sebelum kembali berjuang di Piala Cabaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 5:48 PM